suria

Sultan Kelantan Lucut Dua Pingat Darjah Kebesaran Tengku Razaleigh

KOTA BAHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V perkenan menarik balik dua pingat darjah kebesaran dengan salah satunya Darjah Kerabat (D.K) yang dikurniakan kepada tokoh politik negara, Tengku Razaleigh Hamzah.

Dua pingat kebesaran tersebut ialah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (D.K) (Al-Yunusi) dan tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) Al-Muhammadi I). Pada sidang media di Istana Balai Besar, di sini, Ahad malam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, mengumumkan penarikan balik anugerah itu berkuatkuasa 2 Disember lalu.

Darjah Kerabat dikategorikan sebagai pingat tertinggi istana dan dikhaskan kepada keluarga diraja.

Mohd Aiseri juga mengumumkan penarikan balik tauliah pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato' Paduka) bagi darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Yang Amat Mulia (D.J.M.K.) (Al-Ismaili I) daripada Dr Yaacob Hussain Merican, 72, serta pelantikan Jaksa Pendamai (J.P.), juga berkuatkuasa pada tarikh yang sama. Tengku Razaleigh, 73, Ahli Parlimen Gua Musang, adalah datuk saudara kepada Sultan Muhammad V sebelah bondanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

"Menjunjung titah perintah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Al-Sultan Kelantan, saya memaklumkan bahawa baginda telah mengampuni perkenan menarik balik darjah kebesaran dan anugerah kedua-dua individu itu," katanya.

Menurut Mohd Aiseri mereka yang terbabit dalam penarikan balik darjah kebesaran itu telah dimaklumkan melalui surat serahan tangan sehari selepas itu.

Beliau berkata penarikan balik darjah kebesaran itu adalah hak baginda Sultan yang dijalankan menurut hemah dan budi bicara baginda.

Difahamkan Tengku Razaleigh dikatakan mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan Tuanku melalui siaran akhbar berbahasa Cina pada 14 September lepas kerana meragui pelantikan Tuanku sebagai Pemangku Raja.

Manakala Yaacob mewakili anak guamnya dalam mengemukakan saman terhadap pelantikan baginda sebagai Sultan Kelantan di Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lepas.

Pada Oktober lepas, Sultan Muhammad ke-V menarik balik anugerah dan darjah kebesaran daripada empat individu termasuk gelaran 'Datuk' kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Dua lagi individu adalah kerabat Istana Kelantan iaitu Tengku Mohamed Shafie Tengku Ibrahim dan Tengku Abu Bakar Tengku Mansor.

Tuanku Muhammad Faris Petra Tuanku Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zeti Tokoh Ma'al Hijrah 1432

Artikel Berikut

Artikel Lain