suria

Dua Beradik Piatu Mangsa Amuk Dapat Pencen Perkeso

TELUK INTAN: Dua beradik yatim piatu mangsa kejadian amuk yang melibatkan bapa mereka pada 14 Ogos lepas akan menerima pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga ke peringkat ijazah.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, K. Selvarajah berkata Perkeso akan membayar faedah pencen penakat untuk kedua-dua beradik itu sehingga berumur 21 tahun dan ia akan disambung jika mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Dua beradik itu Najihah, 14, dan Najwa, 10, akan menerima sebanyak RM530.32 sebulan.

Selvarajah berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bayaran faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 kepada ibu saudara mangsa, Zaharah Mohd Ariffin di Langkap dekat sini pada Jumaat.

Dalam kejadian awal pagi Sabtu lepas, bapa dua beradik itu, Natri Shaharudin, 39, yang dipercayai tidak siuman ditembak mati oleh polis selepas dia menetak mati isterinya, Khairul Bariah Mohd Ariffin, 36, serta mencederakan Najihah.

Dalam perkembangan lain, Selvarajah memberi amaran Perkeso tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal membuat pencaruman ke atas pekerja mereka.

Beliau berkata caruman berkenaan adalah kewajiban yang perlu dilaksanakan majikan demi faedah pekerja dan keluarga mereka.

Katanya apa yang menyedihkan, masih terdapat pekerja yang tidak tahu mereka akan mendapat faedah daripada wang caruman sekiranya mereka ditimpa kemalangan yang membabitkan kecederaan atau kematian.

Perkeso akan meningkatkan lagi program turun padang bagi memberi penerangan kepada majikan dan pekerja mengenai faedah caruman, tambahnya. - BERNAMA

Artikel Lain