suria

APMM Tawau Gagalkan Cubaan Seludup 3.4 Tan Minyak Masak Ke Negara Jiran

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 3.4 tan minyak masak ke negara jiran awal pagi tadi.

Pengarah Operasi APMM Tawau Komander (M) Amran Daud berkata minyak masak yang dibawa dari kawasan Kampung Titingan dirampas dari sebuah jongkong tidak berdaftar di kawasan perairan Tawau kira-kira jam 12.01 pagi tadi.

"Bot ronda Maritim Kilat 38 Ketika menjalankan tugas penguatkuasaan menemui minyak masak berkenaan di dalam jongkong yang dalam perjalanan ke Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Bagaimanapun, Amran berkata tiada sebarang tangkapan dibuat yang dikaitkan dengan rampasan itu kerana tidak seorangpun penumpang di dalam jongkong berkenaan mengaku pemilik kepada barangan itu namun seorang penumpang ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Sejak Januari lalu, APMM Tawau merampas sebanyak 5.596 tan minyak masak yang seludup dan rampasan pagi tadi merupakan kes rampasan pertama pada bulan Ramadan ini.

Sementara itu, APMM di sini turut merampas 430 kilogram gula pasir daripada tiga buah jongkong yang dalam perjalanan dari Tawau ke Sungai Melayu di Pulau Sebatik ketika membuat rondaan biasa kira-kira 2 petang semalam. - BERNAMA

Artikel Lain