suria

Ahli Politik Diminta Jangan Politikkan Isu Pertahanan Negara

BAGAN DATOH: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berharap semua anggota parlimen dan pemimpin politik tidak mempolitikkan isu pertahanan negara dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercanggah daripada hakikat sebenar.

"Walaupun kita sering berbeza pendapat tetapi biar perkara (kenyataan) yang benar, jangan sampai menjejaskan imej negara terutama yang melibatkan aset pertahanan negara," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata wakil semua parti politik seharusnya tidak mempolitikkan isu pertahanan negara.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa mengulas tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Kelang pada Selasa terhadap anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan wartawan akhbar Malay Mail, Marhalim Abas berhubung dakwaan kapal selam pertama negara KD Tunku Abdul Rahman tidak boleh menyelam.

Bercakap kepada pemberita selepas berbuka puasa di Masjid Jamek Sungai Keli di sini malam tadi, beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh berkata mereka yang membuat dakwaan itu kini terdedah kepada tindakan undang-undang kerana membuat kenyataan palsu.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh anggota parlimen PKR itu adalah perbuatan tidak beretika dan bermaruah malah boleh dianggap sebagai perderhaka kepada negara kerana membuat dakwaan palsu mengenai aset pertahanan negara di mata dunia.

Kenyataan Nurul Izzah yang memburukkan imej pertahanan negara itu dilaporkan akhbar Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lepas.

"Sepatutnya sebagai seorang anggota Parlimen harus mempunyai tataetika mengenai sesuatu yang benar mengenai negara tetapi cara beliau memburukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan perbuatan yang amat jijik," kata Ahmad Zahid.

Malay Mail pula dalam artikel pada 7 Julai lepas melaporkan kedudukan KD Tunku Abdul Rahman yang mengalami kerosakan dan tidak boleh menyelam.

"Saya telah beberapa kali memberi penjelasan di dalam Parlimen kedudukan sebenar kapal selam itu boleh menyelam, kalau tidak bagaimana boleh menyelam dari Perancis hingga ke Teluk Sepanggar,Sabah," tambah Menteri Pertahanan. - BERNAMA

Artikel Lain