suria

Wanita BN Sarawak Tidak Gentar PKR Giat Rekrut Anggota Baru

KUCHING: Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak tidak gentar dengan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempergiatkan usaha untuk merekrut anggota wanita baru, sebagai usaha memperkukuhkan sokongan terhadap parti itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datin Fatimah Abdullah pada Sabtu berkata kalangan wanita di negeri ini akan menilai sendiri rekod pencapaian, kredibiliti dan komitmen BN untuk membawa pembangunan ke Sarawak.

Beliau berkata tidak dinafikan bahawa segelintir wanita mungkin akan dipengaruhi oleh emosi dan terpedaya dengan pujuk rayu serta kata-kata manis yang dijanjikan pembangkang.

Namun begitu, beliau yakin majoriti wanita di negeri ini akan menilai dan memilih BN yang berpengalaman, berwibawa dan komited untuk berkhidmat kepada rakyat demi kemajuan masa kini dan generasi akan datang.

Fatimah, yang juga Menteri di Pejabat Ketua Menteri, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Kerajaan Negeri Selangor daripada PKR, Elizabeth Wong bahawa PKR akan merekrut lebih ramai anggota wanita baru di Sarawak.

Fatimah berkata pergerakan wanita setiap parti komponen BN sedang mempergiatkan usaha untuk mendapatkan anggota baru menerusi pelbagai saluran seperti bengkel dan Anggota Dewan Undangan Negeri.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan daripada Persatuan Masakan dan Kuih-Muih Sarawak kepada 94 anak-anak yatim Kompleks Laila Taib di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain