suria

Bantahan Awal Bekas Adik Ipar Angkasawan Negara Ditolak

PETALING JAYA: Bekas adik ipar Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, Haryati Mohd Redza gagal dalam bantahan awal bagi membantah permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh bapa mertuanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Haryati memfailkan bantahan awal itu bagi membantah permohonan itu susulan daripada permohonan bapa mertuanya, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abd Shukor yang mendakwa anaknya, Allahyarham Sheikh Mustafa Shukor Al-Masri telah melafazkan cerai talak satu kepada wanita itu, lima bulan sebelum dia meninggal dunia.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad semasa menolak bantahan awal itu memberikan tiga alasan termasuklah Sheikh Mustapha seorang yang berkepentingan mengikut hukum syarak dalam memfailkan permohonan itu.

“Permohonan itu juga mustahak dan perlu diteruskan kerana ia melibatkan harta peninggalan arwah kepada waris-warisnya,” tambah Ghazali.

Berhubung isu locus standi (hak di sisi undang-undang), Ghazali memutuskan bahawa Sheikh Mustapha mempunyai hak tersebut dengan kedudukannya sebagai seorang bapa kepada arwah.

Pada prosiding itu, Sheikh Mustapha, 74, diwakili peguam syarie Zulqarnain Lukman sementara Haryati, 32, diwakili peguam syarie Munirah A. Bakar yang menyebut bagi pihak Fakhrul Azman Abu Hassan.

Dalam kes ini, Sheikh Mustapha memfailkan semula kes pengesahan lafaz cerai itu selepas mendakwa mahkamah tidak sempat untuk membuat keputusan berhubung permohonan yang difailkan oleh arwah anaknya.

Lafaz talak berbunyi ‘Aku ceraikan awak dengan talak satu’ itu didakwa berlaku pada 20 Mei 2007 dan arwah memfailkan permohonan itu keesokan harinya sebelum mula memberi keterangan pada 30 Julai 2007.

Bagaimanapun, arwah yang bekerja sebagai jurutera awam itu meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 27 Oktober 2007 selepas koma seminggu akibat kecederaan di kepala setelah terhantuk tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, dekat sini.

Arwah dan Haryati mempunyai dua orang anak iaitu Sheikh Aiman Shukor Al-Masrie, 4, dan Siti Balkish Aisha Al-Masrie, 2 tahun.

Artikel Lain