suria

Tiga Lagi Kes Buang Bayi Dalam Tempoh 24 Jam - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Tiga lagi kes pembuangan bayi telah dilaporkan dalam tempoh 24 jam di Kelantan, Melaka dan Kuala Lumpur, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Menurut beliau, kejadian terbaru itu telah dimaklumkan kepada beliau tetapi tidak mempunyai butiran lanjut kerana masih menunggu laporan lengkap mengenainya.

Katanya, semua pihak mestilah mengambil sikap serius dan tidak bersikap 'lepas tangan' berhubung kes-kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Beliau berkata isu itu jika tidak ditangani segera akan mengakibatkan kehancuran nilai agama dan budaya dalam masyarakat pada masa depan.

"Ini adalah tanggungjawab bersama ibu bapa, keluarga, masyarakat setempat dan pemimpin. Jangan ambil kes-kes ini sambil lewa," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bersalin, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini pada Jumaat.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa kelengkapan bersalin, jamu dan kuih raya kepada 170 pesakit di hospital tersebut.

Semalam, Shahrizat mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan membunuh atau sekiranya dengan niat sebagai kes bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Sehingga hari ini, terdapat 60 kes pembuangan bayi dilaporkan.

Menurut Shahrizat, ibu bapa tidak boleh menyalahkan pihak lain sekiranya kehamilan luar nikah berlaku pada anak mereka, sebaliknya mestilah mengambil tanggungjawab dan memberi bantuan.

"Ibu bapa apabila sudah berlaku (kehamilan luar nikah) jangan pula tanya seluruh dunia siapa yang salah, ambil tanggungjawab sendiri, beri bantuan, (kepada anak)," katanya.

Katanya pasangan yang menghadapi masalah kehamilan di luar nikah boleh menghubungi Talian Nur 1599 untuk mendapatkan bantuan kebajikan dan kaunseling.

Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL Datuk Dr J. Ravindran berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital tersebut mencatatkan peningkatan pada tahun ini berbanding tahun lepas.

"Tahun lepas 392 wanita melahirkan anak luar nikah. Daripada itu, 62 adalah berumur bawah 18 tahun. Pada tahun ini terdapat penambahan kes iaitu sehingga bulan Julai, terdapat 301 kes termasuk 34 kes bawah umur 18 tahun," katanya.

Beliau berkata hasil temuramah HKL dengan para pesakit mendapati antara faktor yang menyebabkan kes kehamilan luar nikah adalah kurangnya pengetahuan sains.

"Ada remaja yang tidak tahu biologi diri, tidak tahu akan mengandung jika melakukan hubungan seks," katanya.

Dr Ravindran berkata faktor lain termasuk kurang didikan agama, pergaulan bebas, keluarga bermasalah, terlibat dengan dadah dan gemar menonton bahan lucah. - BERNAMA

Artikel Lain