suria

JKJR, Polis, JPJ Bakal Lancar Operasi Kesan Pelajar Langgar Peraturan

ALOR SETAR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan melancarkan satu operasi besar-besaran bagi mengesan pelajar sekolah yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Ketua Pengarahnya Datuk Suret Singh berkata operasi selama enam bulan itu akan dilakukan di semua sekolah di seluruh negara dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Program ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan membabitkan pelajar selain sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen 'Road Safety Walk' peringkat negeri, di sini , Sabtu. Beliau berkata menerusi operasi tersebut pihak berkuasa akan mengeluarkan saman kepada pelajar yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memandu dan menunggang tanpa lesen yang sah.

Operasi ini juga bagi meningkatkan kesedaran pada kalangan pengguna jalan raya yang dilihat masih rendah khususnya mereka di kawasan luar bandar, kata Suret.

Katanya untuk peringkat Kedah, operasi bermula Sabtu dan akan berlangsung selama dua bulan, manakala bagi negeri lain ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Mengulas isu berkaitan, beliau berkata statistik polis menunjukkan kematian akibat kemalangan membabitkan motosikal di Kedah meningkat 10.9 peratus tahun lepas iaitu 550 kes berbanding 496 pada 2008.

Beliau berkata kebanyakan kes melibatkan remaja dan belia berusia di bawah 25 tahun. - BERNAMA

Artikel Lain