suria

Empat ADUN DAP Melaka Keluar Dewan Bantah Penggantungan Rakan

MELAKA: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka daripada DAP bertindak meninggalkan persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini sebagai membantah penggantungan seorang lagi wakil parti itu daripada menghadiri persidangan selama sehari, Selasa.

Ketua DAP negeri Melaka, Goh Leong San (Kesidang), Betty Chew Gek Cheng (Kota Laksamana), Lim Jak Wong (Bachang) dan Tey Kok Siew (Bandar Hilir) meninggalkan dewan selepas Speaker Datuk Wira Othman Muhamad membacakan usul yang menggantung Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) daripada menghadiri persidangan kerana melanggari tatatertib mesyuarat kerana mengingkari arahan Speaker sewaktu persidangan dewan semalam.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Datuk Yaakub Md Amin selaku ketua whip mengemukakan usul mengikut Peraturan 34 (3) Tatatertib Mesyuarat kerana Adun DAP itu dengan sengaja mengganggu urusan mesyuarat.

Usul yang disokong oleh seorang lagi anggota exco, Datuk Seet Har Cheow diluluskan dengan suara majoriti oleh dewan yang mempunyai 23 Adun Barisan Nasional dan lima wakil DAP.

Othman semalam menggantung Khoo daripada menghadiri persidangan dewan kerana melanggari peraturan 34 (1), (2) dan (3) tatatertib mesyuarat ketika membahaskan satu usul berkaitan pusat pengurusan sisa pepejal. - BERNAMA

Artikel Lain