suria

Najib Mahu CECA Dengan India Ditandatangani Pada November

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) antara Malaysia and India ditandatangani pada November.

Beliau berkata perbincangan mengenai CECA, yang telah berlangsung sebanyak lima pusingan, perlu dimuktamadkan sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri India Manmohan Singh ke Malaysia pada November.

"Saya mencadangkan pendekatan yang lebih pragmatik dalam perbincangan. Kita perlu menumpukan kepada apa yang boleh dilaksanakan dan apa yang boleh dicapai.

"Rundingan tidak sepatutnya membawa kerugian kepada mana-mana pihak tetapi lebih kepada situasi sama-sama meraih faedah bagi kedua-dua pihak," kata beliau dalam ucapan pada Seminar Malaysia-India di sini pada Khamis.

Selain CECA, kerajaan kedua-dua negara juga berusaha mengadakan Kerangka Kerja untuk Perkongsian Strategik bagi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, kata Perdana Menteri.

"Ini merupakan perjanjian menyeluruh untuk memantau hubungan dua hala dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, keselamatan dan penglibatan hubungan rakyat," katanya.

"Saya amat komited sebagaimana Manmohan. Kami berdua komited untuk menjadikan hubungan ini ke tahap lebih tinggi.

"Adalah suatu yang mungkin bagi kami mencapai hasil yang sama. Marilah kita berusaha untuk memuktamadkan perundingan ini," kata beliau dan menambah yang pemeteraian CECA akan menjadi acara penting lawatan Manmohan tahun ini.

Sementara itu, Najib mengumumkan penubuhan Forum CEO Malaysia-India yang terdiri daripada ketua-ketua industri dari kedua-dua negara untuk bertindak sebagai badan penasihat dalam usaha mempercepatkan dan mengeratkan hubungan ekonomi dua hala.

India merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-12 terbesar dan destinasi eksport utama yang ke-11 manakala Malaysia adalah destinasi eksport ke-13 terbesar bagi India.

Pada 2009, jumlah dagangan sebanyak US$7.1 bilion berbanding US$10.5 bilion pada 2008.

"Bagi lima bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala kita berkembang lebih 11 peratus berbanding tahun lepas. Saya percaya kita boleh mendapatkan tahap prestasi perdagangan pada 2008," kata Najib.

Beliau berkata dewan perniagaan di India boleh memainkan peranan penting dalam berkongsi pandangan usahawan mereka serta ketua-ketua industri mengenai apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan Malaysia bagi menarik pelaburan.

"Ingin saya ulangi bahawa Malaysia amat terbuka untuk perniagaan. Oleh itu kami akan melakukan apa sahaja yang wajar untuk perniagaan India melihat Malaysia sebagai destinasi komersil yang strategik; satu destinasi yang boleh memainkan peranan dalam mengembang dan memperluaskan perniagan mereka," kata beliau.

Perdana Menteri berkata kerjasama antara kedua-dua negara tidak seharusnya terhad hanya pada integrasi ekonomi serantau tetapi juga ke arah memastikan muktamadnya rundingan yang berkesan ke arah sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan mengikut Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Beliau berkata integrasi ekonomi serantau dan multilateral hanya akan bermakna jika ia memberi faedah kepada rakyat dan ekonomi domestik, meningkatkan kualiti hidup dan membasmi kemiskinan. - BERNAMA

Artikel Lain