suria

Empat Beranak Tinggal Di Rumah Buruk, Reput

ALOR SETAR: Akibat kesempitan hidup, empat beranak di Kampung Tok Sibil di sini terpaksa tinggal di rumah buruk yang reput dengan seorang daripada mereka terpaksa tidur di pondok bersebelahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Abdul Wahab Ahmad, 46, serta isterinya Zainab Ahmad, 46, dan dua anak mereka Mohd Nasir, 22, serta Nurfazilah, 16, sentiasa hidup dalam ketakutan memikirkan rumah itu akan roboh pada bila-bila masa, tetapi tiada pilihan lain.

Abdul Wahab berkata memandangkan lantai dan kayu rumahnya semakin usang dan mereput, pada waktu malam dia akan tidur di sebuah pondok berhampiran rumahnya, yang hanya muat untuk seorang.

Beliau berkata pendapatan hasil mengambil upah mengerjakan sawah dan kerja kampung yang dilakukan hanyalah sekitar RM400 sebulan, menyebabkan dia tidak mampu menyediakan tempat berteduh yang lebih selesa untuk keluarganya.

"Saya ada berusaha mengumpul duit untuk membuat rumah baru, tetapi saya hanya dapat buat dinding dan selepas duit habis, saya tak dapat teruskan lagi. Rumah ini dah tergendala sejak lima tahun lepas," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Abdul Wahab berkata bagi mengurangkan bebanan keluarga, anak sulungnya Mohd Nasir bekerja di sebuah kilang di Pokok Sena dekat sini dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan.

Katanya dia tidak pernah memohon bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mengetahui tentang perkara itu, dan tidak pernah dimaklumkan mengenai bantuan yang disalurkan.

Nurfazilah pula berkata akibat kesempitan hidup, mereka sekeluarga pernah kehabisan wang untuk membeli makanan dan dia tiada duit belanja untuk ke sekolah.

Penderitaan keluarga itu mendapat perhatian Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Setar Mohd Guntor Tobeng Mansor Tobeng yang hadir untuk melihat sendiri kedaifan keluarga itu. Mohd Guntor Tobeng berkata beliau akan cuba membantu mereka memiliki rumah yang lebih selesa menerusi kerajaan negeri atau Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, selain bantuan JKM, terutama untuk persekolahan Nurfazilah.

"Kami ambil maklumat terperinci. Bawa kes ini untuk tindakan agresif. Masalah keluarga miskin ini banyak yang tak sampai kepada kerajaan. Kita kena cari dan masukkan dalam senarai miskin tegar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain