suria

Pelajar Lelaki Dipenjara Dua Tahun Kebumi Mayat Bayi

MELAKA: Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi dipenjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan teman wanitanya, di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, bulan lepas.

Teman wanitanya yang juga pelajar berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, selama dua tahun.

Remaja perempuan yang merupakan pesalah juvana, juga diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dalam tempoh dua tahun, mesti berada di rumah selewat-lewatnya jam 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan mengikuti bangkel interaktif anjuran JKM.

Pelajar perempuan itu dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan berkenaan antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lepas.

Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil, tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Muhamad Faizal Ismail turut meneliti laporan sosial dan laporan akhlak yang disediakan Timbalan Pendakwaraya Farah Wahida Md Nor.

Hadir sama dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu ialah dua Penasihat Mahkamah Juvana Rizal Abdullah dan Zainon Mohd Ali.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan, Farah Wahida berkata, Muhamad Faizal menyatakan hukuman yang diputuskan itu berdasarkan kepada kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, majistret berharap hukuman berkenaan sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sama dan juga sebagai pengajaran kepada kedua-dua pesalah muda itu.

"Walaupun kedua-dua pesalah masih muda tetapi mahkamah memandang serius kes berkenaan dan hukuman berat itu sebagai pengajaran," katanya.

Farah Wahida berkata, terdahulu ketika merayu agar hukuman diringankan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah dia ingin meneruskan pengajiannya dan juga meminta mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah.

Pelajar perempuan dalam rayuannya berkata, dia mahu meneruskan pelajarannya dan turut memberitahu ibunya seorang ibu tunggal.

Farah Wahida berkata, beliau pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat berdasarkan kepentingan awam kerana kes jenayah berkenaan semakin berleluasa di negara ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain