suria

Pengeluaran KWSP Meliputi Banyak Lagi Penyakit Kritikal

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini membenarkan pengeluaran untuk meliputi lebih banyak lagi penyakit kritikal dan membabitkan anggota keluarga berusia di bawah 16 tahun sama ada disebabkan penyakit atau kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Azlan Zainol berkata senarai penyakit kritikal itu telah ditambah daripada 13 kepada 36.

"Senarai baru itu mengambil kira kos signifikan yang diperlukan bagi merawat penyakit kritikal ini dan bertujuan membantu ahli menyelesaikan sepenuhnya atau mengurangkan beban kewangan mereka ketika menjalani rawatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata untuk merawat anggota keluarga di bawah usia 16 tahun, pengeluaran bersama boleh dilakukan dengan anggota keluarga lain bagi menampung perbelanjaan rawatan perubatan bergantung kepada jumlah baki dalam Akaun 2 dan jumlah keseluruhan rawatan.

Ini termasuk anggota keluarga termasuk suami atau isteri, anak-anak, anak tiri atau anak angkat yang sah di sisi undang-undang, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa atau adik-beradik angkat yang sah di sisi undang-undang.

Semua pengeluaran bergantung kepada kesahihan laporan perubatan, bil serta resit yang tidak melebihi tempoh setahun dari tarikh borang pengeluaran dikemukakan dan mestilah atas nama pesakit atau pemohon.

Pengeluaran tidak dibenarkan bagi penyakit di luar senarai yang diluluskan atau apabila kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan anggota berkenaan atau majikan anggota keluarga terbabit.

Mereka yang menerima rawatan kesuburan atau rawatan alternatif seperti perubatan tradisional atau akupuntur adalah tidak layak menikmati pengeluaran ini.

Berikut adalah senarai 36 penyakit kritikal iaitu Anemia Aplastik, Sindrom Appalik, Alzheimer, Tumor Otak Benigna, Buta, Kanser, Kardiomiopati, Penyakit Hati Kronik, Penyakit Paru-Paru Kronik, Koma, Penyakit Arteri Koronari, Pekak, Ensefalitis, Hepatitis Virus Fulminan, Serangan Penyakit Jantung, Penggantian Injap Jantung, Kegagalan Buah Pinggang dan Kehilangan Upaya Hidup Sendiri.

Penyakit lain ialah Kebakaran Parah, Trauma Kepala Utama, Pemindahan Organ Utama, Penyakit Medullary Cystic, Meningitis, Penyakit Neuron Motor, Sklerosis Berbilang, Distrofi Otot, Kelumpuhan, Penyakit Parkinson, Poliomielitis, Pulmonari Utama, Strok atau Angin Ahmar, Pembedahan Aorta, Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) Dengan Lupus Mephritis, Penyakit Membawa Maut dan Hilang Upaya Kekal.

Untuk keterangan lanjut, anda boleh melayari laman web www.KWSP.gov.my, atau menghubungi 03-89226000 atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP. - BERNAMA

Artikel Lain