suria

Australia Juga Seperti Kita, Negara Berbilang Kaum

MINGGU lepas saya meluangkan masa memenuhi satu jemputan ke konsert kepelbagaian kepercayaan dan kebudayaan sempena dengan perayaan hari wesak di Federation Square Hall, Melbourne.

Peluang keemasan ini tidak saya lepaskan begitu sahaja. Tambahan pula masuk adalah percuma. Kerana itu, saya membawa seisi keluarga untuk sama-sama menyaksikan bagaimana simbiosisnya laungan irama di konsert ini.

Seperti mana yang ramai sedia maklum, asalnya peduduk Australia merupakan banduan yang dibawa dari England tetapi apa yang ramai tidak sedar ialah, Australia kini merupakan negara berbilang bangsa, keturunan dan kepercayaan.

Secara teoritikalnya, penduduk Australia tidak banyak jauh bezanya dengan Malaysia. Kalau di Malaysia, kaum Melayu, Cina dan India mendominasi kepadatan penduduk dituruti dengan bangsa-bangsa lain tetapi di Australia pula negara itu dikenali sebagai pusat dunia, dengan wujudnya pelbagai bangsa dari seluruh dunia menghuni setiap pelusuk negeri.

Bak kata orang tempatan, jika ingin melihat seluruh dunia, datanglah ke Australia. Pernah saya menanyakan seluruh pelajar saya di sini, siapa yang boleh mengaku, mereka adalah penduduk asal negara ini, nyata tiada siapa yang berani mengangkat tangan, melainkan seorang yang berketurunan orang Asli.

Dan secara realistiknya juga, pelbagai keturunan kaum dan kepercayaan tinggal di bawah satu bumbung, sudah pastinya mengundang kesukaran untuk penyatuan dan kesefahaman.

Kita sendiri melihatnya di Malaysia, bagaimana kita mencipta pelbagai slogan, kempen dan kaedah agar masyarakat berbilang bangsa dapat hidup harmoni dan aman damai.

Begitu juga dengan Australia. Mereka juga tidak lepas dari momokan propaganda ciptaan pemerintah, yang ingin mewujudkan satu masyarakat pelbilang kaum yang muafakat.

Ini mengingatkan saya tentang sebuah lagu I’am Australian;

I came from dreamtime from the dusty red soil plains For forty thousand years I’d been the first Australian I came upon the prison ship bowed down by iron chains I’m a settler I’m child of depression We are one, but we are many And from all the lands on earth we come We share a dream and sing one voice I am, you are, we are Australian.

from the dusty red soil plains

For forty thousand years

I’d been the first Australian

I came upon the prison ship bowed down by iron chains

I’m a settler

I’m child of depression

We are one, but we are many

And from all the lands on earth we come

We share a dream and sing one voice

Perasaan dengki, cemburu, khianat, perkauman dan berat sebelah sentiasa ada. Sesuatu yang tidak mungkin dapat kita hapuskan. Ia tetap ada dalam jiwa setiap manusia yang hidup namun saya percaya kita masih boleh meminimakannya.

Saya sering katakan pada para pelajar saya; ke mana sahaja anda pergi skripnya tetap sama, yang membezakan hanya para pelakonnya.

Sikap perkauman sebenarnya cukup tebal di Australia. Pernah sekali bandar raya Melbourne lumpuh gara-gara penduduk berketurunan India merusuh kerana tidak berpuas hati terhadap sikap kaum kulit putih melayan mereka.

Mereka sering dijadikan bahan ejekan dan hinaan, sehinggakan membawa kepada pukul memukul (bashing).

Namum ini bukan alasan untuk tidak melaksanakan sebarang tugas dengan cemerlang. Saya sering menanamkan sikap bahawa rakyat Malaysia boleh berjaya di negara luar.

Walaupun negara ini sering kali diwar-warkan bebas mengamalkan kepercayaan agama, bagi mereka yang bekerja, solat Jumaat jika dapat ditunaikan adalah suatu kenikmatan yang tidak terperi. Tambahan pula ketika musim sejuk ini, waktu Zuhur jatuh pada pukul 12.10 tengah hari.

Pastinya ramai gagal untuk mencuri masa menunaikan solat kerana di luar waktu rehat.

Kepada mereka yang dapat majikan yang amat memahami, mereka sungguh beruntung. Tetapi ramai mana yang ingin memahami pegangan dan kepercayaan anda?

Bayangkan di hari-hari sambutan keagamaan anda tidak dibenarkan bercuti malah terpaksa bekerja...sudah pastinya ini memilukan.

Walaupun isu berkenaan suruhanjaya antara agama menjadi isu besar di Malaysia, bagi saya, hargailah kebebasan beragama yang sedia ada di negara tercinta kita. Janganlah sampai kita merindui kenikmatan serta kebebasan yang kita nikmati sekarang.

Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur...baru kita impikan kedamaian dan kebebasan yang kita miliki sekarang. Hargailah ia, kerana mungkin di masa depan ia tiada lagi.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI adalah Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi di [email protected]

Artikel Lain