suria

10,000 Bantah Tindakan Kejam Israel Ke Atas Misi Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 rakyat Malaysia hari ini berhimpun di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyatakan bantahan ekoran tindakan biadab rejim zionis menyerang kapal misi bantuan ke Gaza Isnin lalu.

Sebelum itu mereka berhimpun di Masjid Jamek Kampung Baru dan mula berarak ke kedutaan berkenaan sebaik selepas solat Jumaat.

Mereka terdiri dari ahli-ahli beberapa badan bukan kerajaan (NGO) selain anggota parti pembangkang yang turut melaungkan slogan antiIsrael mengutuk kekejaman rejim Yahudi itu membunuh anggota sukarelawan yang menyertai misi Flotila Pembebasan.

Para penunjuk perasaan turut membakar bendera Israel di hadapan kedutaan sambil beberapa pemimpin pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan wakil kedutaan AS bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan tentera Israel untuk kepada Presiden Barrack Obama.

Memorandum tersebut mengandungi lima resolusi yang dipersetujui bersama antara pemimpin Pakatan Rakyat sebelum itu.

"Dengan persepakatan bersama, kami mendesak agar tindakan Israel itu dihukum berdasarkan undang-undang antarabangsa," kata Anwar pada sidang media selepas Persidangan Pelan Tindakan dan Keamanan untuk Gaza di sini, hari ini.

Resolusi itu mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Israel terhadap komuniti antarabangsa berikutan misi keamanan itu membabitkan kerjasama seluruh dunia yang terdiri daripada kira-kira 50 negara.

Anwar berkata, pihaknya mendesak agar rejim Israel didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan membayar pampasan sepenuhnya kepada semua mangsa terlibat.

"Kami menuntut supaya semua barangan bantuan kemanusiaan dipulangkan kembali kepada penganjur Flotila Pembebasan sebagai hak yang mesti disampaikan kepada rakyat Palestin di Gaza.

"Kita mahu semua badan-badan antarabangsa memastikan agar kepungan ke atas Gaza yang dikenakan oleh Israel dengan bantuan Mesir hendaklah ditarik balik," ujarnya.

Selain itu juga katanya, resolusi itu menyokong perjuangan rakyat Palestin sebagai perjuangan keadilan untuk mendapatkan hak yang sah yang perlu didokong oleh masyarakat dunia merentas bangsa dan agama.

"Justeru, kami bersepakat Malaysia perlu memainkan peranan penting bagi memastikan hegemoni Israel dikekang dan negara tidak dimanipulasi oleh mana-mana kuasa yang mempunyai kaitan dengan Israel sama ada secara langsung atau tidak langsung," kata Anwar.

Berikut adalah perjalanan perarakan perhimpunan memprotes kezaliman serangan tentera Israel terhadap konvoi misi bantuan kemanusiaan ke Gaza:

2.00pm: Perhimpunan bermula kira-kira 3,000 orang selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jamek, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

2.15pm: Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di persimpangan Jalan Raja Abdullah dan Jalan Sultan Ismail.

2.25pm: Perarakan melalui Jalan Ampang sambil melaungkan "Hancur Yahudi, Tumbang Israel".

2.55pm: Berhenti seketika selepas persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

3pm: FRU kelihatan bersedia mengawal laluan untuk ke Kedutaan AS.

Perarakan berjaya membolosi laluan menuju sehingga ke pintu utama Kedutaan AS.

3.10pm: Anwar Ibrahim memasuki Kedutaan AS. Turut serta antaranya Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

3.25pm: Anwar Ibrahim keluar daripada Kedutaan AS selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan AS untuk disampaikan kepada Presiden, Barrack Obama.

3.40pm: Anwar Ibrahim memberi ucapan di hadapan perarakan secara aman di Jalan Tun Razak, diikuti ucapan Kit Siang dan Nasharudin.

3.50pm: Perarakan mulai bersurai secara aman.

Artikel Lain