suria

Barang Tiruan Bernilai RM 217,000 Dirampas Dalam Ops Gerak Gempur

SHAH ALAM: Kasut jenama popular Crocs merupakan antara barang tiruan utama yang dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Selangor dalam satu operasi hari ini.

Ketua Penguatkuasanya Ahmad Md Isa berkata operasi 'Gerak Gempur Cetak Rompak' yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu membabitkan serbuan di beberapa premis perniagaan di Wisma PKNS, perkarangan SACC Mall dan Plaza Alam Sentral.

Beliau berkata semua barang tiruan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM217,000, dan antara yang dirampas termasuk 10,600 pasang kasut tiruan jenama Crocs dan 1,000 keping permainan cakera padat video digital (DVD).

Katanya kasut jenama Crocs itu dirampas dalam serbuan di Wisma PKNS dan perkarangan SACC Mall, dan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada dua lelaki berusia awal 20-an yang dipercayai pemilik perniagaan kasut itu bagi membantu siasatan.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini Ahmad berkata kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (d) Akta Perihal Dagangan 1972 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu katanya dalam operasi yang dijalankan di Plaza Alam Sentral di sini, pihaknya mengambil keterangan seorang lelaki dipercayai pembantu premis menjual DVD berusia lewat 20-an bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain