suria

Tujuh Lelaki Dipercayai Terlibat Dalam Kegiatan Gay Ditahan Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Tujuh lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan gay ditahan dalam satu serbuan di Pulau Tikus di sini pada 9.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Senior Asisten Komisioner (SAC) II Wan Abdullah Tunku Said berkata sepasukan anggota dari Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) terpaksa menunggu selama 30 minit untuk menyerbu pusat kecergasan diri itu kerana premis berkenaan hanya dibuka kepada ahli-ahli sahaja.

"Hasil pemeriksaan, polis menahan tujuh lelaki yang terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu, iaitu seorang penjaga premis, dan enam lelaki pekerja premis yang masing-masing berusia antara 20-an dan 30-an," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Abdullah berkata polis merampas tiga helai tuala, minyak urut, tisu, dan satu botol plastik krim pelincir yang dipercayai untuk kegunaan aktiviti itu.

Siasatan awal polis mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen perniagaan, katanya.

Beliau berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda, atau dikenakan sebatan rotan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan premis berkenaan telah tiga kali diserbu dalam tempoh lima bulan tahun ini, manakala bagi tempoh sepanjang tahun lepas, premis itu diserbu sebanyak 10 kali," katanya.

Sementara itu, dalam Ops Noda yang dijalankan di Jalan Cantonment di sini semalam, polis menahan 10 wanita warga asing dan lima warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat hiburan.

Wan Abdullah berkata mereka yang ditahan dalam serbuan kira-kira 11.35 malam itu terdiri daripada lima warga China dan lima warga Vietnam berusia antara 20 dan 30 tahun.

Turut ditahan ialah seorang lelaki yang dipercayai penjaga pusat hiburan berkenaan. Ketika diserbu, polis mendapati tiga lelaki tempatan sedang berhibur dengan tiga pelayan warga asing itu.

Wan Abdullah berkata hasil pemeriksaan, polis turut menjumpai sebuah pinggan yang mengandungi straw dan serbuk putih yang disyaki dadah.

Pemeriksaan ujian saringan air kencing pula mendapati seorang pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam, dan seorang GRO warga China positif dadah, manakala empat GRO tempatan itu pula positif ketamin, katanya.

"Kesemua GRO warga asing itu akan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk siasatan lanjut kerana kesalahan memberi perlindungan dan menggaji pekerja asing sebagai GRO, menggunakan pas lawatan sosial dan bekerja sebagai GRO, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain