suria

24 GRO Asing Ditahan Dalam Ops Sayang

BUTTERWORTH: Dua puluh empat GRO rakyat asing ditahan ketika sedang melayan pelanggan di sebuah restoran di Jalan Megat Harun di Bukit Mertajam di sini awal hari ini.

Serbuan Jabatan Imigresen pada pukul 12.30 pagi itu dibuat hasil intipan sejak dua minggu lepas berikutan maklumat orang ramai mengenai restoran itu yang beroperasi dari pukul 8 malam hingga 4 pagi dan menawarkan perkhidmatan GRO rakyat asing.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Abdul Rahman Hassan berkata ketika serbuan terdapat kira-kira 200 pelanggan sedang berhibur di premis itu dan ada di antara GRO terbabit yang cuba melarikan diri melalui laluan rahsia dalam premis itu.

"Kami menahan 22 wanita rakyat Thailand dan dua wanita China yang bekerja di situ menggunakan pas lawatan sosial. Kesemua mereka yang berusia antara 20 dan 25 tahun itu kini ditahan di Depoh Tahanan Juru, di sini bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata dalam operasi di sebuah kilang di Taman Nagasari dekat sini semalam, pihaknya menahan 11 lelaki rakyat Bangladesh berusia antara 20 dan 30 tahun kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Turut ditahan ialah seorang lelaki yang merupakan majikan di kilang itu bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain