suria

Perkahwinan Bawah Umur Sah, Perlu Dapat Kebenaran Mahkamah

PETALING JAYA: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Abd Aziz Abd Rahman semalam berkata, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur adalah sah mengikut hukum syarak sekiranya ia dibenarkan oleh wali kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun dan lelaki di bawah umur 18 tahun, mereka perlu mendapat kebenaran daripada pihak mahkamah sebelum berkahwin.

"Secara prinsipnya perkahwinan di bawah umur memang boleh mengikut hukum syarak namun perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan secara sesuka hati kerana kita mempunyai Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 2002.

"Enakmen ini memperuntukkan syarat umur bagi pengantin lelaki ialah minimum 18 tahun, manakala perempuan pula mesti berumur 16 tahun ke atas," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dikahwinkan dengan seorang lelaki berusia 41 tahun oleh ayahnya sendiri Hussin Mat Salleh baru-baru ini.

Kanak-kanak malang itu, Siti Zubaidah Hussin Mat, 11, telah dinikahkan dengan lelaki yang dikenali sebagai Shamsuddin Ajaib selepas diperdaya bahawa perbuatan itu mengikut sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Sebaik sahaja menyedari perbuatannya itu, Husin dan isterinya, Siti Sarnan Mat Ali, 42, telah tampil ke Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan untuk memohon anaknya dikenakan perintah mufarakah (dipisahkan) dengan lelaki yang berkahwin dengan Siti Zubaidah.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Ab Aziz berkata, sekiranya pasangan tersebut berkahwin tanpa mendapat kebenaran, mereka boleh dihukum denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya.

"Dalam kes ini saya tidak tahu sama ada mereka berdua mendapat kebenaran mahkamah atau pun tidak kerana ia masih lagi dalam siasatan," katanya.

Jelasnya, siasatan akan dilakukan berdasarkan dua aspek iaitu status perkahwinan sama ada sah atau pun tidak dan kesalahan lain termasuk jenayah.

Tambahnya, biar pun hukum syarak membenarkan seorang lelaki berkahwin dengan gadis bawah umur tetapi beberapa perkara perlu diambil kira.

"Perkahwinan bukan saja untuk menghalalkan hubungan lelaki dan perempuan kerana ia membawa pengertian yang amat besar, contohnya, adakah seorang kanak-kanak mampu untuk membesarkan seorang anak," katanya.

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Muhammad Shukri Muhamad, berkata semua perkahwinan yang dilangsungkan di negeri ini perlu mematuhi syarat ditetapkan mengikut Enakmen Keluarga Islam Kelantan bagi memastikan pernikahan yang dilangsungkan itu tidak meragukan dari segi syarak dan undang-undang.

Artikel Lain