suria

Ajaran Sesat Azhar Wahab Berselindung Di Sebalik Pusat Refleksiologi

PULAU PINANG: Jabatan Hal Ehwal Agama Pulau Pinang (JHEAPP) hari ini mengesan kegiatan ajaran sesat yang dikenali sebagai ajaran Azhar Wahab mula berkembang ke negeri ini dengan berselindung disebalik pelbagai perniagaan termasuk membuka pusat refleksiologi di sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAPP, Ghazali Saad berkata jabatannya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa kumpulan itu membuka sebuah pusat refleksiologi yang dikenali sebagai Pusat Rawatan Cinta.

Katanya dalam proses rawatan mengurut itu, tukang urut yang juga dipercayai ahli kumpulan ajaran sesat itu akan membaca mentera tertentu dan menyebut: "Ya Allah dengan barkat dan karamah guruku Tuan Azhar, sembuhkanlah penyakit...".

"Kita dapati ajaran mereka mula berkembang dan bergerak secara sulit kerana apabila disoal siasat, pekerja di pusat urut itu tidak mengaku bahawa mereka adalah ahli kumpulan ajaran Azhar bin Wahab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, Azhar yang menggunakan gelaran sebagai Yang Mulia Raja Azhar ibni Raja Wahab, Presiden Persatuan Kerabat Raja Sakti Kedah, turut menggunakan kanak-kanak berusia antara 8 dan 11 tahun untuk mengutip derma di pusat membeli-belah untuk menjana pendapatannya.

Ghazali berkata siasatan yang dijalankan oleh jabatannya mendapati kanak-kanak itu meminta derma daripada orang awam kononnya untuk pembinaan sebuah pusat Tahfiz di Yan, Kedah dan penderma akan dihadiahkan cakera padat lagu dakwah.

"Cakera padat lagu dakwah kotemporari itu adalah nyanyian S.M. Amin dan Sharly dan kita sedang menyiasat apakah kaitan antara lagu-lagu itu dengan kegiatan ajaran sesat kumpulan berkenaan," kata beliau.

Katanya antara percanggahan akidah yang terdapat dalam ajaran Azhar Bin Wahab ialah beliau mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah, mengadakan kuliah tertutup untuk ahli dan kakitangan serta mendakwa didampingi oleh 'Pak Syeikh' atau Wali Allah.

Azhar yang berasal dari Kulim Kedah, pernah mendakwa rohnya berada di Gunung Jerai bersama Wali Songo dan Nabi Khaidir sedang tubuhnya berada di Damansara dan setiap ahlinya diwajibkan bersumpah setia mengikut segala arahan guru dan merahsiakan kegiatan mereka daripada orang ramai.

Beliau juga mendakwa mempunyai bala tentera dan kapalterbang ghaib, mempunyai masjid jin Gunung Jerai di samping mengaku selalu bermesyuarat dengan golongan jin di gunung-gunung tertentu seperti Gunung Santubung di Sarawak.

Ghazali berkata selain itu, Azhar juga dikatakan tidak pernah solat Jumaat dan membolehkan sembahyang jamak pada setiap waktu walaupun bukan dalam musafir.

Beliau berkata orang ramai tidak seharusnya terpengaruh dengan dakwah Azhar kerana dia sebenarnya tidak mempunyai kelulusan agama dan hanya tamat tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Padang Serai, Kedah.

Azhar pernah bekerja sebagai pemandu dengan Bank Simpanan Nasional di Kuala Lumpur sebelum beliau menyertai kumpulan Al Arqam dan kemudiannya menyertai kumpulan Al Mansur.

Katanya JHEAPP sedang mengesan Azhar dan ahli-ahli kumpulan ajaran terbabit dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kumpulan itu diminta menghubungi jabatannya menerusi talian 04-2637200. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain