suria

Istana Kelantan Bergolak Lagi

PETALING JAYA: Selepas dikejutkan dengan pendedahan oleh isteri kedua Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra iaitu Elia Suhana Ahmad, 30, yang disahkan bernikah pada 31 Disember 2007, sensasi pergolakan Istana Kelantan tidak berhenti setakat itu.

Kali ini Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra mendakwa menjalankan titah ayahandanya supaya membatalkan beberapa perintah kekandanya, Tengku Muhammad Faris Petra yang kini memangku Raja Kelantan termasuk tindakan membatalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Perajaan negeri itu.

Melalui surat yang ditandatangan oleh Tengku Muhammad Fakhry kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias bertarikh 29 Disember 2009 di sini hari ini, beliau berkata bahawa Sultan Kelantan tidak mengiktiraf, tidak setuju dan/atau tidak mengesahkan apa-apa arahan pembatalan berkaitan ahli-ahli Majlis Perajaan Negeri.

Sehubungan itu, kata beliau, kesemua arahan pembatalan atau pelantikan hendaklah dikembalikan seperti kedudukan pada atau sebelum 24 Mei 2009.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa ayahandanya menitahkan tidak pernah mengiktiraf sebarang penarikan balik atau penganugerahan mana-mana darjah kebesaran atau pembatalan pelantkan Jakwa Pendamai kecuali yang diperintahkan secara peribadi oleh Sultan Kelantan bukan melalui Pemangku Sultan.

"Maka senarai pihak yang menerima darjah kebesaran, anugerah dan Jaksa Pendamai hendaklah dikembalikan kepada keadaan sediakala pada atau sebelum 24 Mei 2009," jelasnya.

Sultan Kelantan juga, tambah Tengku Muhammad Fakhry menitahkan darjah-darjah kebesaran Datuk kesemua yang berikut ditarik balik melibatkan Aiseri; Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad; Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Kelantan, Datuk Paduka Ismail Md. Noor; Ketua Polis Kelantan dan Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Selain itu, Pengarah Urusan Sentosa Jaya Development Sdn Bhd, Datuk Razali Daud; peguam dan ahli perniagaan, Datuk Sukri Mohamad; ahli perniagaan, Datuk Chai Kin Loong dan Tan Choon Hwa.

"Kesemua darjah mereka ditarik balik bermula pada tarikh surat ini kerana ingkar dengan titah Tuanku atau tidak melaksanakan apa yang dititahkan. Sehubungan itu, pihak berkuasa negeri hendaklah mengambil tindakan membatalkan pelantikan mana-mana pihak di atas sebagai Jaksa Pendamai," ujar beliau.

Tengku Temenggong turut berkata, Sultan Ismail menitahkan Aiseri atau pihak berkenaan supaya titah itu dilaksanakan dan warta-warta hendaklah disiarkan pada atau sebelum 31 Januari 2010. Kontroversi melibatkan keluarga diraja Kelantan tiada kesudahan bermula dengan pergolakan rumah tangga Tengku Muhammad Fakhry Petra dan model Indonesia, Manohara Odelio Pinot.

Ia diikuti dengan tindakan Tengku Muhammad Fakhry mencabar keputusan kekandanya, Pemangku Sultan Kelantan yang membatalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Perajaan negeri itu di Mahkamah Tinggi dekat sini.

Majlis Perajaan merupakan badan yang bertanggungjawab mengesahkan penabalan waris dan kedaulatan kerajaan negeri itu selain menentukan kekosongan takhta jika sultan tidak dapat menjalankan tugasnya dalam tempoh masa yang lama atas sebab-sebab tertentu.

Tengku Muhammad Fakhry, 31, merupakan anakanda ketiga Sultan Kelantan dan merupakan seorang lagi waris bagi takhta di istana negeri.

Beliau dipilih oleh ayahandanya menganggotai majlis berkenaan kira-kira lapan tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain