suria

Anak Anggota Bomba Hilang Di Sungai Pengkalan Datu

KOTA BHARU: Anak seorang anggota Bomba dan Penyelamat dikhuatiri lemas apabila hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Pengkalan Datu dekat Kampung Panchor di sini, awal pagi ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Shukri Ismail berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.45 pagi ketika Ridzalani Ramli, 18, yang menunggang motosikal sendirian semasa melalui jambatan Panchor yang baru siap dibina dikatakan terlanggar sebuah bongkah plastik yang terletak di sebelah kiri jambatan itu.

"Ridzalani dipercayai terjatuh ke sungai selepas terlanggar bongkah setinggi setengah meter, topi keledarnya ditemui di bawah jambatan itu," katanya ketika ditemui di tempat operasi yang turut membabitkan unit skuba dan pasukan bomba sukarela, di sini.

Turut berada di tempat kejadian ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohd Azmi Osman, ibu bapa Ridzalani, keluarga dan kira-kira 200 penduduk kampung.

Bapa Ridzalani, Ramli Chik berkata, terdahulu anak keempatnya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM itu dikatakan keluar bersama rakan-rakan untuk minum di gerai berdekatan.

"Saya dimaklumkan oleh keluarga, Ridzalani hilang di sungai dipercayai lemas," kata beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Seorang saksi yang dikenali Asraf berkata, Ridzalani yang menunggang sendirian bersama beberapa buah motosikal lagi termasuk beliau sendiri, dikatakan cuba melarikan diri dari sekumpulan anggota polis trafik yang membuat rondaan di kawasan itu.

"Kami ada lesen, (tapi) bila tengok kawan-kawan lari, semua lari," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain