suria

Timbalan Ketua Pemuda SPDP Tetap Bertanding Jawatan Nombor Dua

KUCHING: Timbalan Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Philip Ngo kekal dengan keputusannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden yang ketika ini disandang oleh Datuk Peter Nyarok anak Entrie yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian Sarawak.

Ngo ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat Pemuda SPDP sempena Masyuarat Tritahunan (Tiga Tahun Sekali) SPDP berkata beliau akan bertanding jawatan tersebut untuk kepentingan parti dan bukan sebagai satu agenda individu.

"Ini amalan demokrasi dalam parti dan sesiapa sahaja boleh bertanding dan saya bertanding untuk kepentingan parti dan membawa idea baru dalam parti," katanya yang turut menafikan menerima tekanan daripada pihak tertentu supaya menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

Katanya walaupun ada pihak yang cuba membuat ugutan kepadanya, namun beliau menganggap perkara tersebut adalah masalah dalam "keluarga" dan tidak perlu membawa masalah tersebut keluar daripada parti termasuk membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Nyarok dalam ucapannya pada majlis perasmian mesyuarat Pemuda SPDP menjelaskan anggota parti seharusnya menghormati keputusan majoriti parti berhubung pemilihan anggota majlis tertinggi parti tersebut.

Katanya anggota parti yang memegang jawatan tertinggi dalam SPDP merupakan barisan hadapan yang kini memegang jawatan penting seperti Anggota Parlimen, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), Senator dan juga sebagai menteri sama ada di peringkat persekutuan mahu pun negeri.

"Kita mahu mengukuhkan kedudukan SPDP, kita juga mahu hanya ada 1SPDP dan 1Majlis Tertinggi tiada dua ataupun tiga," katanya sambil menegaskan ketika ini SPDP yang juga merupakan salah satu daripada empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak mempunyai empat anggota Parlimen, lapan Adun dan seorang Senator.

Setakat ini, 25 Bahagian SPDP menyatakan sokongan kepada Nyarok untuk kekal sebagai Timbalan Presiden dan mahu Ngo berundur daripada pertandingan jawatan tersebut demi kebaikan parti.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda SPDP Datuk Seri Tiong King Sing dalam ucapannya berkata anggota SPDP seharusnya memberikan sokongan padu kepada semua anggota majlis tertinggi yang sudah dilantik.

"Kita mahu dia (Peter Nyarok) sekali lagi kekal menjadi Timbalan Presiden SPDP kerana tumpuan utama kita selepas ini adalah untuk membantu BN Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain