suria

158 Kes Kolera, Satu Kematian Dicatatkan Sehingga Kini

PUTRAJAYA: Kes kolera kini melibatkan sejumlah 158 kes dengan satu kematian sejak penularan wabak itu di Terengganu pada 11 November lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata sejumlah 112 kes dikesan daripada 402 kes cirit-birit yang mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan, dan 42 kes cirit-birit yang pulih telah dibenarkan pulang.

Katanya 46 kes lagi adalah daripada 1,072 kontak terdekat daripada keskes kolera yang dilaporkan.

"Kesemua kes yang disahkan kolera termasuk kes daripada kontak dimasukkan ke hospital untuk rawatan. Mereka hanya dibenarkan pulang setelah ujian najis mengesahkan mereka bebas daripada kuman kolera selama tiga hari berturut-turut.

"Dua kes kolera sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kematian kekal satu dan tiada kematian baru dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan untuk memastikan tiada penularan wabak itu ke kawasan lain.

Katanya sebanyak 60 premis telah diperiksa, 11 premis telah ditutup termasuk lima kilang ais berikutan tahap kebersihan yang tidak baik dan 71 sampel air dan 50 sampel makanan diambil untuk ujian kuman.

"Keputusan makmal bagi 35 sampel air dan makanan adalah negatif kepada V.Cholerae manakala 86 sampel masih lagi menunggu keputusan," kata beliau.

Beliau berkata sebanyak 36 telaga diklorin, 304 tandas dan 135 tempat pembuangan sampah telah didisinfeksi.

Katanya hebahan awam mengenai langkah kawalan dan pencegahan turut dijalankan dan meminta orang ramai untuk memberi kerjasama kepada aktiviti itu terutamanya kepada nasihat mendapatkan rawatan segera dan mengelak diri daripada makan atau minum di premis makanan yang kotor termasuk penjaja bergerak.

Sehingga semalam, sebanyak 1,341 sesi pendidikan kesihatan telah diadakan di kawasan yang terlibat dengan wabak kolera, 238 hebahan awam telah dilakukan dan 6,776 risalah dan poster diedarkan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain