suria

Mahkamah: Lapan pihak bukan lagi pencelah dalam semakan kehakiman gereja

KUALA LUMPUR: Lapan pihak termasuk tujuh majlis agama Islam bukan lagi pencelah dalam permohonan Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur bagi semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah".

Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan membuat keputusan itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 3 Sept dalam kes Majlis Agama Islam Selangor lwn Bong Boon Chuen & 150 yang lain bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan pencelahan dalam prosiding semakan kehakiman mengikut Ketetapan 15 Peraturan 6(2)(b) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 1980.

Beliau kemudian menenepikan perintah yang dikeluarkannya sendiri pada 3 Ogos, membenarkan lapan pihak untuk mencelah dalam permohonan baru Ketua Paderi Tan Sri Murphy Pakiam bagi semakan kehakiman berhubung penggunaan perkataan "Allah" dalam majalah mingguan terbitan gereja itu, The Herald.

Lapan pihak itu ialah majlis-majlis agama Islam Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar.

Peguam yang mewakili gereja itu, S.Selvarajah, memberitahu pemberita mahkamah menetapkan 14 Dis untuk mendengar merit kes itu.

Selvarajah berkata mahkamah patut mendengar kes itu sebelum 31 Dis kerana permit penerbitan The Herald bagi 2009 akan tamat pada 31 Dis.

Pada 16 Feb, Pakiam, sebagai penerbit The Herald, memfailkan permohonan baru bagi semakan kehakiman selepas permohonan serupa pada 2008 dianggap bersifat akademik berikutan permit penerbitan The Herald bagi 1 Jan hingga 31 Dis, 2008 telah tamat.

Dalam permohonan itu, yang menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, beliau memohon antara lain, diisytiharkan keputusan para responden pada pada 7 Jan, 2009, yang melarang beliau menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitan "HeraldThe Catholic Weekly" sebagai tidak sah dan perkataan "Allah" tidak eksklusif kepada agama Islam sahaja. BERNAMA

Artikel Lain