suria

Tujuh Ditahan Edar Dadah Di Ibu Negara

KUALA LUMPUR: Empat lelaki dan tiga wanita dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 di tiga lokasi di sekitar ibu negara pada Rabu lepas.

"Kesemua suspek yang ditahan dipercayai telah bergiat aktif sejak tiga bulan lalu di sekitar ibu negara. Dadah-dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan dan polis tidak menolak kemungkinan ia juga untuk diedarkan ke pasaran antarabangsa," kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Supt Sharifah Hawariah Syed Idrus pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam operasi pertama, dua wanita warga Myanmar berumur 19 dan 31 tahun ditahan bersama heroin seberat kira-kira 143.2 gram bernilai RM8,000 di sebuah rumah di Jalan Ipoh kira-kira 5.30 petang.

"Kedua-dua suspek tidak bekerja dan tiada rekod jenayah lampau. Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM530 dan dua buah telefon bimbit," katanya.

Pada hari yang sama, kira-kira pukul 5.35 petang, tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan ditangkap di kawasan tempat letak kereta Kuchai Entepreneurs Park kerana terlibat dalam pengedaran syabu.

Kira-kira 70 gram dadah itu bernilai RM25,000 dirampas daripada keempat-empat suspek yang berusia lingkungan 27 dan 40 tahun itu.

"Kempat-empat suspek didapati positif dadah jenis methaphetamine. Dua suspek lelaki dan wanita itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pengedaran dadah," kata Sharifah Hawariah.

Polis turut merampas tujuh telefon bimbit, tiga buah komputer riba, wang tunai RM1,000 dan satu alat penimbang digital.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu teksi berumur 38 tahun ditahan kirakira pukul 11.40 malam hari yang sama dipercayai mengedar ganja di sebuah restoran di kawasan Jalan Kepong di sini.

Ganja seberat 5.9kg bernilai RM8,000 dan 19 peket kecil syabu dirampas daripada lelaki itu. BERNAMA

Artikel Lain