suria

Lupakan ijazah demi sara keluarga, jaga ibu lumpuh lepas kemalangan... Kisah gadis ini tarik perhatian Pengerusi MARA

Komitmen terhadap keluarga memaksa seorang gadis melupakan hasrat untuk sambung belajar. -Gambar hiasan AI

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah gambaran nasib gadis ini yang terpaksa melupakan impian menggenggam segulung ijazah selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), demi memikul beban sebagai 'ketua keluarga' di usia muda.

Lebih menambah pilu apabila dia turut meluahkan rasa cemburu apabila melihat orang lain mempunyai seorang bapa yang penyayang.

Berkongsi kesedihan dialami, gadis ini berkata ibunya diceraikan selepas mengalami lumpuh akibat kemalangan.

Seorang ayah sanggup mengabaikan nafkah anak kandung selepas berkahwin baru. -Gambar hiasan AI

Seorang ayah sanggup mengabaikan nafkah anak kandung selepas berkahwin baru. -Gambar hiasan AI

"Sejak itu, saya menjadi ketua keluarga. Saya kerja sambilan lepas habis SPM sebab nak tanggung dua orang adik lagi.

"Saya dapat tawaran sambung belajar tapi terpaksa tolak sebab tak ada sesiapa yang nak jaga ibu dan adik-adik," luahnya di Thread.

Meskipun terbeban, namun baginya keluarga adalah keutamaan.

Malah dia berusaha sehabis mungkin bagi membantu adiknya memasuki sekolah agama berasrama.

  • Gadis lepasan SPM jadi ketua keluarga jaga ibu lumpuh, tanggung dua adik.
  • Terpaksa tolak tawaran belajar demi keluarga.
  • Sedih dan cemburu lihat orang lain ada ayah penyayang.
  • Terkilan bapa enggan bantu, anggap tiada hubungan.
  • Netizen simpati, Asyraf Wajdi Dusuki tampil hulur bantuan.

"Adik nombor dua nak masuk sekolah maahad, saya habiskan simpanan untuk beli barang-barang dia ke asrama.

"Cuma tak cukup lagi RM400. Kemudian saya minta ayah tambah untuk bayar yuran," katanya.

Namun permintaan itu rupanya lebih menambah duka apabila bapanya bukan sahaja enggan membantu tapi menyatakan mereka sudah tidak mempunyai pertalian saudara antara satu sama lain.

"Dia kata tak ada kena mengena dan bukan urusan dia, padahal kami ni masih darah daging dia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hidup, mati asyik susahkan orang” - Pemuda bingung arwah bapa tinggal hutang RM700,000... Semasa hayat culas nafkah!

ARTIKEL BERKAITAN: Benci ‘sejarah’ dengan bekas isteri, bapa tergamak panggil zuriat sendiri anak haram! Nak bagi nafkah RM50 sebulan

"Dia tak mahu bagi sebab tahu saya dah kerja, tapi berapa sangatlah gaji saya dan dengan duit itu jugalah untuk bayar komitmen serta perubatan ibu," adunya yang terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab bapanya.

Mengakui penat dan kecewa dengan situasi dialami, dia turut mendedahkan bapanya tidak pernah bertanya khabar tentang kehidupan mereka adik-beradik.

Malah katanya, perasaan tersebut adakalanya mendorong untuk dia keluar dari rumah dan meninggalkan ibu serta adik-adiknya, bagi menjalani kehidupan normal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati dan mengecam tindakan bapa tersebut yang dianggap tidak bertanggungjawab. 

Komen balas yang ditinggalkan Dr Asyraf Wajdi pada hantaran gadis terbabit.

Komen balas yang ditinggalkan Dr Asyraf Wajdi pada hantaran gadis terbabit.

Ramai yang mendoakan agar urusan gadis ini dipermudahkan dan dia diberikan kekuatan untuk terus berbakti kepada ibunya.

Tidak ketinggalan, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajid Dusuki turut meninggalkan komen balas.

"Belajar di mana dan tinggal di mana, bagi saya maklumat penuh adik-beradik yang masih belajar," ujarnya yang prihatin dengan nasib keluarga gadis tersebut.

Artikel Lain