suria

[V] “Tak payah bayar, esok Allah tolong saya” - Abang mekanik menitis air mata dipeluk lelaki Cina dalam kesempitan

Dicky tidak dapat menahan sebak dibantu seorang mekanik ketika motosikalnya rosak.

SEORANG mekanik tidak dapat menahan sebak apabila dipeluk lelaki yang terkandas kerana motosikal rosak di tepi jalan pada lewat malam di sekitar Petaling Jaya, Selangor. 

Menurut @minyakhitamjalanan_  dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam Jumaat itu, dia menerima panggilan daripada lelaki berbangsa Cina.

Difahamkan lelaki itu memperoleh nombor telefonnya melalui TikTok selepas gagal mendapatkan bantuan daripada mekanik lain.

Lelaki tersebut memaklumkan motosikalnya mengalami kerosakan apabila rantai putus dan gegancu (sprocket) depan hilang, menyebabkan dia tidak dapat meneruskan perjalanan.

Sebaik tiba di lokasi [Tonton Video] dan membaiki motosikal terbabit, mekanik tersebut memaklumkan kos keseluruhan berjumlah RM145 dan mendapati lelaki Cina itu hanya mempunyai wang yang mencukupi untuk kegunaannya sendiri.

"Abang pun ada RM176 je, boleh bayar ke? Nanti ada duit makan tak? Betul ka ada duit makan? Awak tak payah bayar," kata mekanik tersebut.

"Eh jangan, tak boleh bang. Bang, RM50 saya bayar. Duit upah bang," kata lelaki Cina itu dengan mata berkaca sebelum memeluk mekanik berkenaan.

"Anggap ini rezeki, hari ni tolong awak esok Allah tolong saya. Ini dah ada orang tolong bayarkan sebab dah ada orang infaq," kata @minyakhitamjalanan_.

Menurut mekanik itu, dia mengakui semasa lelaki tersebut memeluknya dia menangis kerana tidak dapat menahan kesedihan.

Sementara itu, lelaki Cina yang dikenali sebagai Dicky berterima kasih kepada orang ramai yang cuba menghubunginya bagi menghulurkan bantuan.

"Berkenaan motosikal saya yang rosak di tepi jalan semalam, ingin dimaklumkan bahawa ia telah dibaiki dan kini berada dalam keadaan baik.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah PM (mesej peribadi) saya untuk menghulurkan bantuan. Namun, saya tidak menerima sebarang sumbangan daripada sesiapa.

"Sekiranya terdapat akaun palsu yang meminta sumbangan atas nama saya, itu adalah tidak benar," katanya.

Artikel Lain