suria

Pulih daripada masalah kesihatan, Andi Bernadee luah ‘Aku Nak Kahwin’

Andi ubati rindu peminat dengan 'Aku Nak Kahwin'.

SETELAH lama menyepi, Andi Bernadee kembali mewarnai industri muzik dengan single terbaharunya berjudul Aku Nak Kahwin, sekali gus mengubat kerinduan peminat.

Sebagai lelaki bujang, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 35, berkata dia memahami tekanan yang sering dihadapi generasi muda apabila berdepan soalan berkaitan jodoh.

Menurutnya, lagu tersebut mengangkat tema individu yang sudah bersedia untuk berkahwin, namun masih menanti pasangan yang sesuai.

Andi anggap karyanya lebih santai dan tak beremosi.

"Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul.

"Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat," katanya.

Tambah Andi, Aku Nak Kahwin hadir dengan nafas baharu dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh kurus sebab ambil ‘barang’, ramai tak tahu Andi Bernadee sebenarnya ada masalah kesihatan

ARTIKEL BERKAITAN: Empat bulan rehat, Andi Bernadee tolak banyak tawaran kerja... Bimbang rebah atas pentas

"Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan.

"Jadi Aku Nak Kahwin tampil dengan vibe yang lebih ringan dan positif. Ia sedikit perubahan mood yang lebih gembira untuk pendengar," ujarnya.

Menariknya, karya tersebut menggabungkan elemen nyanyian dan rap, sekali gus memberi kelainan berbanding karya-karya terdahulu Andi.

"Dari segi penyampaian, lagu ini kedengaran santai dan tidak terlalu berat dari segi vokal, namun ia tetap memerlukan kawalan pernafasan yang baik.

Andi lama berehat kerana masalah kesihatan.

"Apa yang menarik adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan untuk saya," jelasnya.

Dalam pada itu, Andi turut berkongsi perjalanan menghasilkan lagu tersebut bersama album penuhnya berjudul Ding Geding bukan sesuatu yang mudah.

Sebelum ini, pelancaran terpaksa ditangguhkan apabila dia berdepan masalah kesihatan namun kini keadaannya semakin pulih dan dia kembali dengan semangat baharu untuk berkarya.

"Tempoh itu menjadi ruang untuk saya berehat dan pulih sepenuhnya, sebelum kembali dengan tenaga yang lebih baik," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain