suria

Empat bulan rehat, Andi Bernadee tolak banyak tawaran kerja... Bimbang rebah atas pentas

Andi mahu kembali fokus mempromosikan karya baharunya.

MULA didiagnos menghidap penyakit Graves atau hipertiroid sejak Disember tahun lalu, penyanyi Andi Bernadee memberitahu dia terpaksa menolak banyak tawaran kerja bagi memberi fokus kepada proses rawatan.

Biarpun masih berkemampuan untuk menyanyi, namun Andi atau Andi Azrul Andi Mapangile, 35, tidak mahu sebarang kejadian di luar jangkaan berlaku ketika dia membuat persembahan pentas.

Dalam masa sama, dia enggan masalah kesihatan yang dialaminya menjadi topik perbualan yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat.

Penampilan Andi yang semakin kurus membuatkan ramai peminat bimbang. 

"Selepas tahu tentang penyakit ini, saya banyak menolak tawaran kerja. Persembahan di festival jualan raya tahun ini pun saya terpaksa tolak sebab mahu berehat dan fokus kepada rawatan.

"Saya tidak mahu ambil risiko jika tiba-tiba penyakit ini menyerang ketika sedang menyanyi. Jangan semata-mata mahu mengejar wang, cerita sakit saya pula yang jadi bualan.

"Sepanjang tempoh rawatan ini, saya masih menjalani kehidupan seperti biasa. Saya tetap melakukan kerja-kerja seni, namun tidak terlibat dengan persembahan secara terbuka," katanya ketika dihubungi mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh kurus sebab ambil ‘barang’, ramai tak tahu Andi Bernadee sebenarnya ada masalah kesihatan 

ARTIKEL BERKAITAN: Andi Bernadee masuk hospital akibat hyperthyroidism, alami bengkak leher dan badan menggeletar… “Kalau minum macam kena siat”

Andi sebelum ini berkongsi masalah kesihatan yang dialaminya selepas seorang pengikut di media sosial menegur penampilannya yang semakin kurus sehingga dituduh mengambil barang terlarang.

Menjelaskan perkara tersebut, katanya video yang dimuat naik pada Jumaat merupakan salah satu rakaman promosi untuk album terbaharu berjudul Ding Geding.

"Video yang saya kongsi itu dirakam sekitar Oktober tahun lalu, sebelum saya tahu tentang sakit ini. Banyak lagi video lain yang mungkin orang ramai akan persoalkan tentang perubahan fizikal saya.

Saya akan susun jadual dengan baik supaya kesihatan tetap dijaga

ANDI BERNADEE

PENYANYI 

"Saya tidak salahkan komen individu berkenaan, cuma sedikit terkilan kerana terus membuat kesimpulan tanpa bertanya. Jadi sebab itu saya jawab kerana tidak mahu lebih ramai orang salah faham," jelasnya.

Menurut penyanyi ini berat badannya turun sehingga 45 kilogram sepanjang tahun lalu dan kini mula kembali normal dengan berat 60 kilogram. 

Andi kini sedia untuk kembali aktif menyanyi. 

Bercakap lanjut, Andi juga memberitahu dia kini sedia untuk kembali aktif dalam dunia seni termasuk mempromosikan album terbaharunya.

"Cukuplah tempoh empat bulan berehat. Saya dah sedia dan sebab itu lancarkan album ini. Bukanlah sihat sepenuhnya sampai boleh berlari maraton.

"Saya akan susun jadual dengan baik supaya kesihatan tetap dijaga. Saya juga perlu berehat selain waktu makan ubat yang perlu ikut setiap hari," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain