suria

Ikmal Amry hubungi Jefri Nichol, bimbang tersinggung hati baca komen netizen… “Isu ini babit dua negara”

Ikmal tidak mahu netizen berbalah membandingkan wajahnya dengan Jefri.

ENGGAN membiarkan komen netizen terus mengundang salah faham, pelakon Ikmal Amry mengambil langkah menghubungi aktor Indonesia, Jefri Nichol bagi menjernihkan keadaan.

Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 32, berkata tindakan itu diambil selepas menyedari komen peminat di platform Threads mula melampaui batas sehingga menyentuh sensitiviti peribadi pelakon seberang itu.

Menurut Ikmal, dia berasa lega apabila Jefri menyambut baik mesej dihantar dan menyifatkan pelakon itu sebagai seorang yang sangat profesional.

Ikmal gembira mendapat respons baik daripada Jefri. 

“Saya sudah berhubung dengan dia (Jefri) melalui mesej peribadi. Dia seorang yang santai dan boleh membaca komen-komen itu dengan tenang kerana mungkin sudah biasa menerima kecaman.

“Jefri kata dia gembira membaca reaksi daripada netizen kita. Saya juga gembira membacanya, tetapi janganlah sampai menghina dia. 

“Kami sekadar berkongsi pandangan. Kadang-kadang saya beritahu, ada orang cakap sesuatu tentang dia, itu sahaja. Saya juga ada mempertahankan dia di media dan dia cakap terima kasih,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Jefri Nichol jauh lebih kacak, Ikmal Amry tak selesa masing-masing ada kelebihan 

ARTIKEL BERKAITAN: Ikmal Amry dah lama minat Amyra Rosli, siap hantar DM sekitar tahun 2014... Dulu panggil kakak

Ikmal berkongsi perkara itu ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka dan tayangan treler rasmi filem Tarung: The Unforgiven di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sebelum ini, nama Ikmal dan Jefri disebut-sebut netizen sehingga ada yang membanding-bandingkan wajah dan penampilan mereka.

Tambah Ikmal, dia akui terkejut apabila akaun Threads miliknya dihujani pelbagai perbandingan sebaik sahaja dia mendaftar akaun tersebut.

Jefri kata dia gembira membaca reaksi daripada netizen kita

IKMAL AMRY 

PELAKON 

Tegasnya, budaya membandingkan rupa paras dengan unsur penghinaan perlu dihentikan kerana ia bukan sahaja memalukan diri sendiri, malah menjejaskan nama baik negara.

“Saya baru mula menggunakan Threads. Apabila terlalu banyak mesej dan ‘tag’ diterima, sampai satu tahap saya membaca komen yang menghina dia, saya rasa perkara ini perlu dihentikan.

“Sebab isu ini membabitkan dua negara. Saya bimbang apa yang peminat kita katakan boleh menyinggung perasaan pihak di sana. Nanti nama kita juga yang terjejas,” ujarnya.

Netizen membandingkan wajah Ikmal dan Jefri. 

Kata Ikmal lagi, perbandingan yang bersifat toksik tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mana-mana pihak.

“Sebab itu saya keluarkan kenyataan untuk menghentikan budaya membanding-bandingkan. Kalau mahu membuat perbandingan sekali pun, bandingkan perkara yang baik sahaja.

“Jangan kata saya baik, dia buruk, atau sebaliknya. Namun, perkara itu tidak berhasil apabila semakin ramai pula yang terus membandingkan,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain