suria

Meriah! Ribuan peminat beraya bersama Siti Nurhaliza… Imbau kenangan lucu sambut Aidilfitri

Siti menghiburkan peminat dengan koleksi lagu raya sepanjang bergelar anak seni.

BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam industri muzik tanah air apabila berjaya menganjurkan konsert Pentas Eksklusif Aidilfitri: Beraya dengan Saya yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu menghimpunkan hampir 3,000 peminat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Mengangkat konsep sambutan Hari Raya Aidilfitri, penonton tampil anggun mengenakan busana tradisional, sekali gus mewujudkan suasana penuh warna-warni dan meriah.

Lebih istimewa, Siti turut menyediakan juadah hari raya buat peminat yang hadir awal ke acara berkenaan sebagai tanda penghargaan.

Peminat terhibur dengan konsep persembahan Siti. 

Membuka tirai dengan lagu Lip Lap Raya, kemunculan penyanyi itu dari pintu dewan sambil diiringi penari mencetuskan sorakan gemuruh dalam kalangan penonton.

Sepanjang konsert, Siti turut berkongsi kenangan zaman kanak-kanaknya menyambut Aidilfitri, khususnya pengalaman mengumpul duit raya.

Menurut Siti, poketnya pernah terlondeh akibat terlalu banyak mengisi duit syiling yang diterima ketika beraya.

“Sebagai anak polis, saya akan beraya di blok kediaman polis untuk kumpul duit raya. Baju raya saya pun ada empat poket, mak saya memang faham.

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert raya Siti Nurhaliza ‘sold out’, peminat mohon tambah hari  

ARTIKEL BERKAITAN: Stadium Nasional Bukit Jalil jadi saksi 65,000 penonton bangun berjoget lambak di Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza

“Paling seronok bila dapat tahu rumah mana bagi duit raya banyak. Masa itu RM2 pun dah besar nilainya. Sampai saya tukar baju dan datang semula ke rumah yang sama, tapi tak berjaya sebab makcik itu kenal saya,” ujarnya sambil berseloroh.

Tambahnya lagi, situasi berbeza dialami kini apabila dia bergelar artis dan sering dikunjungi peminat ketika musim perayaan.

“Sekarang ramai peminat datang beraya, kadang-kadang saya tak cam muka dan boleh beri dua atau tiga kali duit raya. Nak ingat semua orang memang susah, nak ingat lirik pun kadang-kadang lupa,” katanya bersahaja.

Perkongsian tersebut mencuit hati penonton dan menambahkan lagi kemeriahan suasana konsert Aidilfitri berkenaan.

Aisha meluahkan rasa gembira dapat berduet dengan Siti. 

Sebanyak lebih 20 lagu yang didendangkan Siti pada konsert tersebut seperti Lip Lap Raya, Sesuci Lebaran, Meriah Susana Hari Raya, Bila Hari Raya Menjelma

dan Air Mata Syawal.

Lebih unik lagi Siti juga mendendangkan lagu Mekar Hari Raya yang merupakan kali pertama dibawa selepas bergelar ibu selain turut menyanyikan Anugerah Aidilfitri dan Hari Kemenangan.

Malah ketika Siti menyanyikan lagi Nazam Lebaran dan Beraya Dengan Saya, rata-rata peminat bangun daripada tempat duduk dan menari bersama-sama.

Acara bertambah riuh dengan kehadiran tetamu jemputan seperti Aisha Retno yang menyanyikan lagu Jodoh Lebaran serta Raya Nak Ke Mana bersama Siti.

Auddra (kiri) dan Umai turut sama tampil membuat persembahan. 

Turut memeriahkan dua artis dibawah naungan pengurusan SN Legacy iaitu Auddra dan Umai yang sempat menyanyikan lagu Selamat Hari Raya nyanyian asal Saloma, 3 Hari Raya (Sharifah Aini), Selamat Hari Raya (Ahmad Jais) dan Dentam Dentum Raya (Auddra).

Selain lagunya sendiri, Siti turut mendendangkan lagu raya hit sepanjang zaman seperti Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Selamat Berhari Raya (Rahimah Rahim). 

Tak lupa Pulang Di Hari Raya (Noorkumalasari), Suara Takbir (P Ramlee), Dendang Perantau (Shariafh Aini), Dari Jauh Ku Mohon Keampunan (Sudirman) dan Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah) juga antara dipersembahkan.

Dalam acara sama seorang peminat bertuah berjaya mendapat duit raya dari Siti yang bernilai RM100 selepas menjawab pertanyaan dari penyanyi kesayangan ramai itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain