suria

Dua penjenayah warga Indonesia ditembak mati

SHAH ALAM: Dua penjenayah warganegara Indonesia dipercayai anggota 'Kumpulan Roy' ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Kayangan Heights di sini, awal pagi Jumaat.

Kedua-dua suspek berumur awal 30-an itu dipercayai terlibat dalam kejadian samun dan pecah rumah pasangan suami isteri warga emas di Kota Kemuning di sini malam tadi, yang turut menyebabkan seorang daripada mangsa terbunuh.

Mangsa yang terbunuh berumur 70 tahun dan merupakan bekas ahli perniagaan manakala isterinya yang berumur 69 tahun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata rentetan kejadian rompakan yang berlaku pukul 10 malam semalam dan pukul 3 pagi tadi, pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menjejaki penjenayah terbabit sehingga ke Kayangan Heights.

"Apabila tiba di tempat kejadian pukul 5 pagi, polis terserempak dengan dua suspek terbabit dan ketika diminta untuk menyerah diri, kedua-dua suspek bertindak menyerang polis menggunakan parang menyebabkan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan untuk mempertahankan diri.

"Kedua-dua suspek yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah mati di tempat kejadian dan kita kini sedang menyiasat sama ada mereka terlibat dalam kejadian pecah rumah dan samun di Kota Kemuning malam tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Khalid berkata anggota Kumpulan Roy dipercayai terlibat dalam enam kes samun dan pecah rumah di sekitar Shah Alam dan polis masih memburu saki baki anggota kumpulan itu.

Selain itu beliau berkata polis turut menjumpai sebuah pondok kecil di atas bukit tidak jauh dari tempat kejadian dipercayai menjadi tempat anggota kumpulan itu berkumpul bagi merancang kegiatan samun mereka.

Katanya pondok itu dipercayai berada di sana sejak seminggu lepas dan polis turut menemui beberapa peralatan pecah rumah di dalamnya.

Mengulas mengenai kejadian samun di Kota Kemuning itu, Khalid berkata sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang memecah masuk rumah pasangan warga emas itu dan melarikan harta benda bernilai RM500,000.

Beliau berkata penjenayah terbabit bertindak mengikat dan menutup mulut pasangan suami isteri itu di sebuah bilik semasa mereka menggeledah rumah berkenaan.

"Kira-kira pukul 3 pagi, penjenayah terbabit melarikan diri selepas berjaya memecah sebuah peti besi milik mangsa. Isteri mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dan terus menghubungi anaknya yang duduk berhampiran sebelum berkejar ke pondok pengawal terletak 50 meter dari rumah mereka untuk meminta bantuan.

"Ketika polis tiba di rumah itu, mangsa didapati telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas kerana mulutnya ditutup. Semasa kejadian pasangan warga emas itu hanya tinggal berdua di rumah jenis berbandung itu dan mangsa difahamkan mempunyai masalah jantung," katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya. BERNAMA

Artikel Lain