suria

Antiviral H1N1 pada harga RM80 di rangkaian klinik cegah dan rawat Influenza

KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh mendapatkan ubat antiviral bagi merawat Influenza A (H1N1) dengan harga tidak melebihi RM80 sekotak di semua rangkaian klinik atau hospital yang menyertai kempen Klinik Cegah dan Rawat Influenza A (H1N1).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, sebanyak 85 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

Beliau berkata di bawah kempen itu, klinik atau hospital swasta yang menyertainya akan diberikan harga istimewa bagi membeli ubat antiviral FluHalt (Oseltamivir Phospate) keluaran Syarikat Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd.

"Apabila kita beri kata putus, iaitu klinik jangan jual harga antiviral ini lebih tinggi daripada RM80. Saya rasa dengan jelas orang ramai boleh mendapat antiviral ini dengan lebih murah. Satu ketika dulu harganya meningkat sehingga RM180.

"Kita rasa ini adalah musim pandemik dan dengan sokongan pharmaceutical drug supplier, kita dapat mengurangkan harga ini. Saya harap klinik-klinik mendapatkan bekalan dan memberi rawatan dengan cepat kepada pesakit H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen klinik cegah dan rawat influenza A (H1N1) di sini pada Khamis.

Selain itu tawaran harga rendah, klinik atau hospital swasta di bawah kempen ini juga digalakkan untuk mengenakan caj yang minimum bagi konsultasi kes-kes influenza-like illness (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan kepada pesakit.

Liow turut menegaskan bahawa tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana klinik atau hospital swasta yang enggan memberikan rawatan kepada pesakit H1N1 sebaliknya meminta pesakit dirujuk di klinik atau hospital kerajaan.

"Sebelum ini, ramai pesakit yang pergi ke klinik dan hospital swasta diminta merujuk kepada hospital kerajaan.

"Saya harap ini tidak berlaku lagi. Sudah tiba masanya semua klinik dan hospital swasta memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menangani wabak H1N1," katanya.

Alriz, sebuah syarikat bumiputera dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd, melancarkan kempen bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan bagi Influenza A(H1N1) dengan lebih mudah dan pada bayaran lebih rendah, di klinik-klinik peserta swasta di seluruh negara.

Sebuah laman web pelbagai bahasa www.h1n1.net.my telah disediakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai H1N1 serta membolehkan mereka mengesan klinik peserta yang terdekat dengan kawasan mereka.

Liow berkata Malaysia telah pun membuat tempahan awal bagi vaksin H1N1 dan bekalan pertama 400,000 dos akan tiba pada Oktober sementara yang kedua pada Januari.

Terdahulu, di Hospital Ampang, Liow menggesa syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa influenza A (H1N1) yang membeli insurans dengan mereka terutamanya jika pelanggan meninggal dunia akibat wabak itu.

"Ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu mereka jalankan memandangkan ketika ini tidak semua syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa H1N1," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain