suria

11,400 kg gula sorok bernilai RM16,500 dirampas

RAWANG: Sejumlah 11,400 kilogram gula bernilai RM16,500 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor dari dua rumah di Taman Teratai, Bukit Beruntung di sini malam tadi.

Timbalan Pengarah KPDNKK Selangor Ahmad Md Isa berkata 228 kampit gula itu disimpan oleh seorang pemilik syarikat pembuatan minuman kordial di premis tidak sah serta tidak memiliki lesen dan surat kuasa dari kementerian berkenaan.

Bertindak atas maklumat polis, pihaknya bersama lima anggota polis menyerbu dua buah rumah itu yang juga dijadikan asrama pekerja asing syarikat terbabit di Jalan Teratai, Taman Teratai pada kira-kira pukul 11 malam tadi.

"Dalam serbuan di rumah pertama, sebanyak 165 kampit gula ditemui yang setiap satunya seberat 50kg. Serbuan di rumah kedua, jaraknya hanya 150 meter, sebanyak 63 kampit lagi ditemui.

"Syarikat itu yang terletak di Bukit Beruntung dipercayai menyimpan gula berkenaan sejak tiga hari lepas di premis yang tidak sah dan kita akan siasat tujuan mereka menyimpan gula itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Ahmad berkata 10 pekerja rakyat Myanmar berusia antara 20an dan 30an yang mendiami premis itu turut ditahan tetapi dibebaskan setelah diambil keterangan.

"Mereka mengaku tidak tahu apa-apa dan hanya tinggal di rumah itu. Kesemua mereka bekerja di syarikat pembuatan minuman itu," katanya.

Beliau berkata pemilik syarikat terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan bahan kawalan tanpa kebenaran dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM250,00 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. BERNAMA

Artikel Lain