suria

Fitnah: Subramaniam dapat injunksi halang anak Samy Vellu

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis membenarkan permohonan Pengerusi MIC Bahagian Seputeh Datuk S.Subramaniam untuk perintah injunksi sementara ex-parte bagi menghalang Vell Paari, anak Datuk Seri S.Samy Vellu dan dua yang lain dari terus menerbit atau mencetak artikel berunsur fitnah mengenainya.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf membuat keputusan itu dalam kamarnya setelah mendengar hujah peguam G.Rajasingam dan K.Saraswathy yang mewakili Subramaniam, bekas timbalan presiden MIC.

Rajasingam memberitahu Bernama bahawa Subramaniam memperoleh perintah injunksi itu sehingga pendengaran permohonan inter-parte (antara pihak) pada 10 Sept ini.

Subramaniam dalam permohonan perintah injunksi itu berkata akibat penerbitan kata-kata fitnah itu telah menjejaskan dan merosakkan reputasi dan nama baiknya.

Pada 13 Ogos lepas, Subramaniam menfailkan saman fitnah bagi menuntut gantirugi RM100 juta terhadap Vell Paari yang merupakan pengarah urusan Tamil Nesan Sdn Bhd, Tamil Nesan Sdn Bhd pemilik dan penerbit akhbar harian Tamil Nesan dan ketua pengarang akhbar itu K.Pathmanabhan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Subramaniam yang juga calon untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu pada 12 Sept ini, mendakwa defendan-defendan telah secara palsu, berniat jahat menulis dan menerbitkan kata-kata fitnah mengenainya dalam artikel di akhbar itu pada 4 Ogos lepas.

Subramaniam berkata artikel itu antara lain bermaksud bahawa tindakan beliau dalam pilihan raya umum ke-12 tahun lepas bertentangan dengan kepentingan MIC dan Barisan Nasional (BN) dan mengkhianati MIC dan BN.

Beliau memohon mahkamah supaya Vell Paari mengeluarkan terbitan lengkap artikel itu dengan menarik balik perkataan-perkataan fitnah itu dan menyiarkan permohonan maaf di akhbar Tamil Nesan.

Subramaniam juga memohon gantirugi untuk niat jahat, komplot putar belit, gantirugi teladan dan teruk, faedah, kos dan lain-lain relif. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain