suria

A(H1N1): 6 lagi maut; jumlah kematian kini 32

KUALA LUMPUR:, 10 Ogos (Bernama) Enam lagi kematian akibat Influenza A (H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kepada 32 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataannya hari ini berkata, sejumlah 203 kes baru H1N1 dilaporkan dengan kesemuanya adalah kes tempatan yang membabitkan warganegara Malaysia.

Dr Mohd Ismail berkata dengan ini jumlah terkumpul kes H1N1 di Malaysia ialah 1,983 kes.

"Daripada enam kematian tersebut hanya satu kematian yang berlaku pada 9 Ogos, manakala yang lain adalah kematian yang berlaku terdahulu dan hanya disahkan ada jangkitan H1N1 pada 7 dan 8 Ogos tetapi dilaporkan semalam secara formal sebagai kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan H1N1.

"Tarikh kematian sebenar enam kes itu adalah dua kematian pada 5 Ogos, diikuti tiga kematian (8 Ogos) dan satu kematian pada 9 Ogos. Empat daripada kes kematian didapati mempunyai faktor risiko seperti penyakit kronik, warga tua dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini, terdapat sejumlah 67 pesakit sedang dirawat di hospital manakala 15 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada 15 pesakit tersebut, enam daripada mereka mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik seramai tiga orang, obesiti (1), selepas bersalin (1) dan seorang bayi.

Di peringkat global, katanya setakat ini virus tersebut telah mengorbankan sejumlah 1,688 orang di 174 negara daripada 208,155 kes yang dilaporkan.

Berikutan peningkatan penularan penyakit tersebut, Dr Mohd Ismail meminta orang ramai supaya serius mengambil langkahlangkah pencegahan dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan dan bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan H1N1 agar segera mendapatkan rawatan anti-viral.

Beliau berkata, mereka yang dalam kategori berisiko tinggi terdiri daripada kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah, warga tua berusia 65 tahun ke atas, wanita hamil, kanakkanak dan remaja berusia kurang dari 19 tahun yang mengambil ubat aspirin untuk tempoh rawatan jangka panjang, berpenyakit asma, paruparu kronik, kegagalan fungsi organ, penyakit kardiovascular, penyakit hati, penyakit sistem darah, penyakit saraf, diabetes, obes dan mempunyai daya ketahanan badan yang rendah.

Katanya, kumpulan ini akan diberikan rawatan anti-viral tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal, dan ia sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

"Bagi mengurangkan penularan penyakit ini orang ramai perlulah terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk meminum air dengan banyak, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal dengan teratur.

"Mereka juga dinasihatkan memberi perhatian kepada tandatanda amaran jangkitan H1N1 seperti sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk atau kahak berdarah, muntah dan ciritbirit yang kerap. "Sekiranya mempunyai tandatanda tersebut mereka perlulah segera dapatkan rawatan," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata maklumat lanjut mengenai H1N1 boleh didapati melalui hotline yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300 atau melayari laman web kementerian di http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my. BERNAMA

Artikel Lain