suria

Ali Rustam cabar Hasan Ali keluar Pakatan Selangor

ALOR GAJAH: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mencabar Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali keluar dari pakatan pembangkang jika dia memiliki niat yang betul, dan serius untuk menegakkan agama Islam dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata sekiranya PAS juga serius dengan apa yang diperjuangkan, parti itu perlu keluar daripada Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh DAP di Kedah baru-baru ini.

"Barulah 'gentleman' jika DAP Kedah sanggup keluar dari pakatan, PAS juga boleh keluar di Selangor, boleh lihat siapa lebih hebat PAS atau DAP," katanya selepas merasmikan majlis penutup hari keluarga Kelab Media Massa Melaka (KEMM) di sini pada hari Sabtu.

"Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat langsung tidak berani komen. Dia seorang seorang alim ulama tapi bila timbul krisis seperti ini dia tidak mahu beri pandangan," tambahnya.

Perselisihan faham antara Dr Hasan dan DAP bermula selepas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor Ronnie Liu mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8, Shah Alam, hujung bulan lepas.

Ekoran tindakan itu Dr Hasan mendesak kerajaan negeri supaya menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Liu, namun ia tidak dipersetujui oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu TAIPING, Perak, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pakatan pembangkang yang kini memerintah empat negeri, adalah gabungan politik yang terlalu rapuh dan tidak akan mampu melaksanakan tanggungjawab membangunkan rakyat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata parti-parti yang membentuk pakatan itu dilihat tidak mempunyai persefahaman, dan ideologi masing-masing jelas berbeza.

Katanya perbalahan di Selangor mengenai isu rampasan minuman keras itu jelas mempamerkan perbezaan ketara dalam ideologi PAS dan DAP.

Beliau berkata walaupun mendapat mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum lepas, pakatan berkenaan masih gagal berjuang di bawah satu payung seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN).

"Saya cabar mereka bertanding di bawah satu lambang semasa pilihan raya umum yang akan datang untuk membuktikan mereka adalah pakatan yang jitu seperti BN dan mampu menggalas cabaran tanpa menyentuh hak-hak peribadi sesuatu kaum, bangsa dan agama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Taiping hari ini.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata perselisihan pendapat terbaru antara parti PAS, DAP dan PKR mengenai isu penjualan minuman keras di Selangor menunjukkan sekali lagi pakatan mereka rapuh dan tidak mempunyai landasan perjuangan yang sama.

Katanya pertelingkahan yang sering kali berlaku sesama mereka sendiri itu akhirnya akan merugikan dan mengelirukan rakyat.

"Ini memang sudah jangka kerana pakatan mereka diwujud atas dasar "marriage of convenience". Perkara ini akan berterusan dan akhirnya rakyat yang akan rugi kerana negeri mereka mempunyai dasar-dasar yang bercanggah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis konvokesyen Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) ke-sembilan pada hari Sabtu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Pemuda PAS mendesak supaya kerajaan negeri Selangor menyegerakan penguatkuasaan polisi penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam di negeri itu.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Azman Shapawi Ab Rani berkata Pemuda PAS meminta kerajaan Selangor supaya menyegerakan polisi bagi memperincikan aspek penjualan minuman keras di Selangor, terutama di kawasan majoriti orang Islam, dan ia seharusnya bukan hanya setakat di Shah Alam sahaja.

Katanya Jabatan Agama Islam Selangor juga perlu mengemaskini undang-undang kecil sedia ada yang melibatkan maksiat seperti pelacuran dan bukan hanya menumpukan kepada penjualan minuman keras semata-mata.

"Kami juga minta kerajaan pakatan negeri Selangor supaya menyelesaikan isu yang melibatkan kaum dan agama secepat mungkin. Lepas ni mungkin lebih banyak isu yang akan timbul," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kali ke-3 Dewan Pemuda Pas Pusat di sini pada hari Sabtu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain