suria

6 parti India wujudkan suasana tidak sihat - Samy Vellu

SEREMBAN: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kelahiran terlalu banyak parti kaum India boleh menyebabkan masyarakat itu berpecah.

Katanya, beliau memandang berat perkara ini dan meminta kerajaan supaya berhati-hati ketika memberikan kelulusan kepada parti-parti politik berkenaan.

"MIC sedang dalam program menyatupadukan masyarakat India, perkembangan ini tidak berapa sihat untuk kaum ini jadi, saya minta parti-parti politik itu bekerjasama dengan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perwakilan MIC Negeri Sembilan yang ke-63 di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun yakin kaum India akan memberi sokongan kepada MIC memandangkan parti itu sudah bertapak selama 63 tahun.

"Ramai orang India berjumpa dengan saya untuk mengadu masalah, ini membuktikan MIC masih relevan dan mampu menjaga kepentingan masyarakat India," katanya.

Pada hari ini terdapat enam parti kaum India iaitu MIC, Barisan Kemajuan India Semalaysia (IPF), Malaysia Indian United Party, Makhal Sakti, Mindraf, dan Parti Hak Asasi Manusia.

Samy Vellu akui bahawa parti itu telah menyebabkan sebahagian kecil dari orang India marah dengan dakwaan bahawa MIC tidak menjaga kepentingan orang India yang bermasalah.

Akibatnya kira-kira 40 peratus sokongan kaum India telah beralih kepada pembangkang pada 2008 dahulu, katanya.

"Hari ini kita dapati bahawa sokongan orang India terhadap MIC dan Barisan Nasional mula kembali," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain