suria

Zambry: Perak berjaya kawal hutan daripada penerokaan haram

IPOH: Kadar eksploitasi komersial atau pemusnahan hutan di Perak tidak begitu buruk seperti yang dicanang dan digembargemburkan golongan tertentu yang menggelar diri sebagai pencinta dan pejuang alam semulajadi.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berkata jumlah kawasan berhutan di Perak pada masa kini adalah sebanyak 1.04 juta hektar ataupun kira-kira 50 peratus dari keseluruhan keluasan negeri.

"Peratusan kawasan hijau ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Australia yang kini hanya ada 20 peratus kawasan hijau, Perancis (28 peratus), Jerman (32 peratus), Belanda (11 peratus) dan United Kingdom sebanyak 12 peratus.

"Kerajaan negeri telah, sedang dan akan terus mengamalkan sikap tegas yang berterusan dalam aspek pengurusan dan pembangunan sumber hutan," katanya semasa berucap pada majlis perasmian bangunan Jabatan Perhutanan Negeri Perak di sini.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah berkenan merasmikan bangunan baru itu yang siap dibina pada November 2007 dengan kos RM17.8 juta. Bangunan di Bandar Meru Raya itu bagi menggantikan pejabat lama di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab. Zambry berkata kerja pemuliharaan kawasan hutan di Perak sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan negeri yang memberi tanggungjawab pengawasan dan pemuliharaan hutan kepada Jabatan Perhutanan.

Beliau berkata jabatan itu turut berperanan menjamin kawasan hutan berfungsi bagi mengekalkan kestabilan alam sekitar.

Zambry berkata dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), jabatan itu menerima RM62 juta peruntukan negeri dan RM94 juta lagi dari peruntukan kumpulan wang pembangunan hutan bagi membiayai program pemuliharaan hutan.

Kepentingan hutan mencakupi pelbagai dimensi termasuk sebagai sumber kepada negeri, sumber pendapatan kepada pengusaha dan sumber bahan mentah kepada perusahaan berasaskan kayu dan mewujudkan peluang pekerjaan, katanya.

"Selain itu, kawasan hutan juga berfungsi sebagai kawasan tadahan air, sumber herba ubat-ubatan dan pengimbang biodiversity dan pemangkin ekolestari," katanya.

Zambry berkata kerajaan negeri telah mewartakan kawasan seluas 160,000 hektar dalam hutan-hutan simpanan sebagai kawasan tadahan air melibatkan 23 kawasan dan 16 hutan simpan di seluruh negeri. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain