suria

Anggota MIC digesa pilih pemimpin berdasarkan prestasi

GENTING HIGHLANDS: Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu menggesa anggota parti itu memberi undi kepada pemimpin yang tekun berkhidmat dan diterima rakyat pada pemilihan parti berkenaan 12 Sept ini.

Beliau berkata bagi menjamin MIC terus bernafas dalam senario politik yang berubah, parti itu perlu mempunyai pemimpin yang memiliki kualiti sedemikian bagi membolehkan ia meraih sokongan masyarakat India, "bukan saja sokongan anggota parti, tetapi juga masyarakat India secara keseluruhannya".

"MIC sudah wujud lebih 63 tahun dan hanya pemimpin yang mampu membawa perubahan dan pembaharuan saja boleh menjadikan parti ini terus relevan," katanya ketika merasmikan konvensyen anggota perwakilan MIC Pahang ke63 di Genting Awana Resort di sini hari ini.

Beliau berkata setelah mencatat prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum 2008, kini MIC memerlukan para pemimpin "bertenaga", yang mampu menarik sokongan masyarakat India serta memberi undi mereka kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

"MIC perlu tunjukkan bahawa ia adalah rakan yang boleh diharapkan oleh Barisan Nasional dengan mendapatkan undi untuknya," kata beliau. Samy Vellu sebelum ini menamakan timbalan presiden MIC Datuk G.Palanivel sebagai pilihannya bagi mengisi jawatan nombor dua dalam parti itu berbanding bekas timbalan presiden Datuk S.Subramaniam dan naib presiden Datuk S.Sothinathan.

Bagi tiga jawatan naib presiden pula, beliau memilih Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S.Subramaniam; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany; dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan.

Berikutan pengumuman yang dibuat Samy Vellu tentang calon yang menjadi pilihannya dua hari lepas, semalam, seorang bekas pemimpin MIC mencadangkan agar Dr. Subramaniam bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Bekas pengerusi MIC Bahagian Klang Alex Thiagarajan dipetik sebagai berkata bahawa Dr. Subramaniam, yang juga timbalan setiausaha agung MIC dan satu-satunya menteri Kabinet daripada MIC, yang melaksanakan tugasnya dengan cekap dan berkesan sejak 15 bulan lepas, adalah orang paling berkemampuan untuk mengetuai parti itu.

Calon yang memenangi jawatan timbalan presiden pada pemilihan itu akan mengambil alih teraju kepimpinan parti itu daripada Samy Vellu, yang mengumumkan bahawa beliau akan berundur sebagai presiden parti apabila penggal tiga tahun kesebelasnya berakhir pada 2012. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain