suria

Influenza: Tindakan tatatertib jika tidak lapor kes

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pengetua dan guru besar yang didapati gagal melaporkan kes Influenza A (H1N1) di sekolah masing-masing kepada kementerian itu, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata pentadbir sekolah itu akan diberi surat tunjuk sebab meminta mereka menjelaskan dengan terperinci mengenai punca kegagalan melaporkan insiden itu.

"Pengetua dan guru besar dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam perkara ini. Sekiranya kita mendapat maklumat mengenainya daripada sumber lain dan bukannya pihak sekolah sendiri, maka kita tidak akan teragakagak untuk mengambil tindakan tatatertib," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian masih mengekalkan arahan sebelum ini yang membekukan setiap program guru dan pelajar ke luar negara sehingga wabak H1N1 reda sepenuhnya.

Kementerian Pelajaran akan menghantar surat pekeliling mengenai perkara itu kepada semua sekolah menerusi Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), yang secara automatik membatalkan setiap perancangan pihak sekolah yang mengatur lawatan atau program ke luar negara, katanya.

Wee berkata kementerian sedia menimbang sebarang implikasi kepada hubungan antarabangsa atau keselamatan negara jika program berkenaan dibatalkan.

"Rayuan boleh dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, untuk dipertimbangkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee meminta ibu bapa atau penjaga memastikan murid-murid hadir ke sekolah selepas tamat tempoh penutupan sekolah akibat H1NI.

"Sehingga kini, Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1, Petaling Jaya hanya mencatatkan kirakira 80 peratus sahaja kehadiran dan perkembangan ini adalah tidak menggalakkan serta tidak elok untuk perkembangan pendidikan pelajar.

"Saya rasa ibu bapa mungkin masih bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka... (oleh itu) saya beri jaminan bahawa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah dan penjagaan terbaik bagi memastikan keselamatan murid sentiasa terjamin," katanya. BERNAMA

Artikel Lain