suria

Ahli perniagaan rugi RM4 juta, barangan berharga dilarikan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian hampir RM4 juta apabila beberapa barangan berharga miliknya dan keluarga hilang dari simpanan di rumah mereka di Bukit Tunku, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Datuk berusia 45 tahun itu dan keluarganya berada di luar negara.

Mereka hanya menyedari kehilangan barangan berharga itu yang antaranya batu permata, barangan kemas, jam tangan Rolex dan wang tunai sebaik pulang ke negara ini, Isnin lepas.

Sepanjang di luar negara, dua pembantu rumah rakyat India ditinggalkan di kediaman mewah itu.

Difahamkan, dua pembantu rumah berkenaan yang kini menjadi suspek kes itu sudah pulang ke negara asal mereka dan polis mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman yang dihubungi mengesahkan kes itu dan dua pembantu rumah terbabit dicari polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu, polis sedang mengesan suspek dan saksi kes seorang lelaki dibelasah sehingga menyebabkan kematiannya di hadapan sebuah pub di Taman Salak Uptown, Damansara Utama, Petaling Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata Lee Eng Chong, 38, disahkan mati ketika dirawat di sebuah hospital swasta pada pukul 3.30 petang semalam.

“Mangsa yang juga pemilik pub itu dikatakan dibelasah oleh sekumpulan lelaki pada kira-kira pukul 1.30 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata Lee yang cedera parah di kepala akibat dipukul dengan objek keras kemudian dihantar ke Hospital Pakar Damansara oleh orang ramai.

Isteri Lee, katanya membuat laporan polis apabila mangsa disahkan meninggal dunia petang semalam dan mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat.

“Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kami sedang mengesan saksi dan pihak yang menghantar mangsa ke hospital bagi membantu siasatan,” katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain