suria

Ahli perniagaan miliki senjata api diperintah bela diri

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebas dan melepaskan seorang ahli perniagaan yang didakwa memiliki pistol dan peluru dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memerintahkan Tajul Arus Abdul Aziz, 43, membela diri atas dua kesalahan itu setelah mendapati wujud kes prima facie ke atas tertuduh.

Katanya Hakim Mahkamah Sesyen telah tersilap dengan keputusannya bahawa tertuduh tidak tahu kewujudan pistol dan peluru di dalam sebuah kereta yang dinaikinya.

Bagaimanapun, Mohamad Zabidin mengekalkan hukuman penjara dua tahun atas tuduhan menyamar sebagai polis selepas menolak rayuan pendakwaan berhubung hukuman itu.

Pada 30 April 2007, Mahkamah Sesyen telah melepas dan membebaskan Tajul Arus bagi kesalahan memiliki senjata api dan peluru manakala pada 8 Mei 2007, Tajul Arus diperintah menjalani hukuaman penjara selama dua tahun.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas ketigatiga kesalahan itu.

Tajul didakwa memiliki pistol model 85 Cal 9 Luger di persimpangan jalan masuk ke Tasik Perdana, Jalan Parlimen di sini pada 12 September 2005 kira-kira pukul 3.45 pagi.

Bagi kesalahan kedua, dia didakwa memiliki 15 butir peluru iaitu tujuh peluru peluru jenis WCC 881 9 mm dan lapan peluru hidup jenis HP 9. mm tanpa lesen sah pada tarikh dan waktu yang sama.

Dia juga dituduh menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan dari Cawangan Khas Bukit Aman kepada Lans Koperal Aziz Ahmad pada tempat dan masa sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yaacub Chik manakala peguam Harjinder Singh Sandhu mewakili tertuduh. BERNAMA

Artikel Lain