suria

Wakil MCA Perak diminta dahulukan kepentingan rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat mengingatkan wakil parti itu Perak agar mendahulukan kepentingan rakyat sebagai keutamaan mereka walaupun negeri itu sedang berdepan dengan krisis politik.

Beliau berkata pemimpin parti di negeri itu juga telah diingatkan supaya tidak terbawabawa dengan krisis itu sehingga mengabaikan keperluan rakyat terutamanya daripada segi kestabilan ekonomi dan keselamatan.

"Wakil kami di pelbagai peringkat perlu kekal komited kepada perjuangan iaitu berkhidmat kepada rakyat, walaupun pertikaian politik yang dihadapi di negeri itu dilihat begitu bergolak.

"Kami berlumba mengejar masa. Kami perlu terus berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin. Kita tak boleh leka dan arahan ini adalah cukup jelas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) parti di Wisma MCA di sini semalam.

Pemimpin MCA itu berkata mesyuarat lima jam itu turut membincangkan secara mendalam mengenai perlunya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk lebih telus dalam pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang.

"Saya ingin tegaskan bahawa isu pokok di sini bukan mengenai hutang ataupun kuota kaum.

"Sebaliknya ialah mengenai kriteria dan tahap ketelusan pihak JPA seperti yang disuarakan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata Biro Pendidikan parti itu juga telah menjalankan kajian terperinci mengenai perkara itu dan telah menyerahkan laporan kepada JPA dan pucuk pimpinan negara.

Katanya biro itu akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan lebih ramai pelajar yang berhak, terutamanya bukan Bumiputera untuk mengikuti program matrikulasi. BERNAMA

Artikel Lain