suria

Ayah Pin muncul di Rantau Panjang?

MIRIP?... Gambar menunjukkan seorang lelaki mirip Ayah Pin membeli makanan di sebuah gerai di Rantau Panjang baru-baru ini.
MIRIP?... Gambar menunjukkan seorang lelaki mirip Ayah Pin membeli makanan di sebuah gerai di Rantau Panjang baru-baru ini.
MIRIP?... Gambar menunjukkan seorang lelaki mirip Ayah Pin membeli makanan di sebuah gerai di Rantau Panjang baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu ada menerima laporan risikan bahawa ketua ajaran Kerajaan Langit yang hilang sejak 2005, Ayah Pin telah dikesan berada di kawasan Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Bagaimanapun polis belum menerima maklumat tentang lokasi tepat Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohamed dilihat apabila memasuki negara ini dari Thailand, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan kepada The Star semalam.

Ayah Pin dikatakan tinggal dalam buangan di Narathiwat, Thailand sejak empat tahun lalu.

Mohd. Shukri berkata, Ayah Pin masih dalam senarai buruan polis Terengganu yang turut telah meminta bantuan polis Kelantan untuk mengesa beliau.

"Setakat ini kami tidak menerima apa-apa laporan mengatakan Ayah Pin memasuki Terengganu, pun begitu pengawasan kami diteruskan," kata beliau.

Tambah beliau, risikan polis menunjukkan Ayah Pin mempunyai ramai saudara di Pattani, Thailand.

Khabar Ayah Pin muncul kembali tersebar ekoran pengakuan seorang peniaga bahawa dia sekali-sekala ternampak ketua ajaran Kerajaan Langit di Rantau Panjang.

Selasa lalu, peniaga terbabit yang dikenali sebagai Abey memaklumkan The Star, dia pernah lihat kemunculan Ayah Pin di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini.

Dia turut membekalkan gambar yang kurang jelas, yang diambil menerusi telefon bimbit, seorang lelaki mirip Ayah Pin, sedang membeli makanan di sebuah gerai di Rantau Panjang.

Malah, dia juga mendakwa Ayah Pin biasanya keluar masuk sempadan Malaysia-Thailand.

Ayah Pin gagal dikesan selepas markas kumpulannya di Hulu Besut diserbu oleh sekumpulan lelaki bertopeng pada 2005.

Sejak itu beberapa dakwaan mengatakan dia pernah dilihat di Lembah Klang dan Tumpat selain dikatakan pernah pulang ke Hulu Besut.

Wartawan The Star yang berada di Rantau Panjang baru-baru ini untuk menjejaki Ayah Pin mendapati seorang lelaki seolah-olah seperti Ayah Pin menunggang motosikal, yang menggunakan plat pendaftaran Narathiwat, dengan ditemani pembonceng.

Bagaimanapun penunggang itu memecut apabila mendapati mereka diekori kereta yang didaftarkan di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, seorang juruteknik sebuah hotel di Sungai Golok, Sukhree Abdullah pula berkata, terdapat lebih daripada 20 orang yang mempunyai nama Ayah Pin di selatan Thailand.

Katanya, dia tahu yang ketua ajaran Kerajaan Langit pernal tinggal di pekan Bang Nan Sata, kira-kira dua jam perjalanan dari Sungai Golok.

Bagaimanapun katanya, dia dimaklumkan Ayah Pin dari Malaysia telah meninggal dunia awal tahun ini.

Artikel Lain