BN harus bertanding di Penanti - Semasa | mStar

BN harus bertanding di Penanti

PULAU PINANG: Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang berharap Barisan Nasional (BN) dapat bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini bagi menebus maruah parti dan membela nasib rakyat.

Ketuanya Norman Zahalan berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi itu pada 16 April lepas telah mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi di kawasan itu.

"Ahli BN dan UMNO harus mempunyai semangat dan maruah perjuang parti yang tinggi untuk membela nasib pengundi di kawasan Penanti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Norman, yang juga Ketua Pemuda Bahagian Bayan Baru, berkata apabila UMNO tidak bertanding maka ini akan menunjukkan kemerosotan pengaruh parti itu di kawasan yang ada pilihan raya kecil.

Bagaimanapun, beliau berkata Pemuda UMNO Negeri akur dengan sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan BN berhubung sama ada mahu meletakkan calon untuk bertanding kerusi DUN Penanti atau sebaliknya.

UMNO Pusat dijangka membuat keputusan berhubung penyertaan parti itu dalam pilihan raya kecil Penanti selepas mesyuarat Biro Politik parti itu di Putrajaya Isnin ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 23 Mei ini sebagai hari penamaan calon dan hari mengundi pada 31 Mei jika ada pertandingan.

Pada Selasa lepas, PKR memilih Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Negeri, Mansor Othman sebagai calon parti itu untuk merebut kerusi DUN Penanti. BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain