suria

Kembar seiras bebas dari hukum gantung sebab keliru

KUALA LUMPUR: Sepasang kembar seiras hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini berikutan kekeliruan dalam menentukan siapakah sebenarnya yang menjadi pemilik kepada dadah seberat 168,098 gram lima tahun lepas.

Kes yang dianggap 'unik' oleh Hakim Datuk Zaharah Ibrahim itu melibatkan R. Sathis Raj dan R. Sabarish Raj berumur 27 tahun yang didakwa atas dua tuduhan mengedar dadah.

Zaharah, ketika membacakan penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata kedua-dua lelaki itu bukan sahaja mempunyai wajah seiras dan sukar dicamkan malah DNA mereka juga adalah sama tetapi beliau tidak menafikan salah seorang daripadanya adalah tertuduh sebenar.

"Tugas saya yang dikehendaki undang-undang adalah untuk menentukan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Dalam kes ini kedua-duanya adalah kembar seiras.

"Pegawai tangkapan Cif Inspektor N. Sekaran ketika mengecam kembar pertama agak ragu-ragu tentang pengecaman tetapi apabila ditanya peguam, dia mengatakan kena (perlu) ambil masa dan tidak berapa pasti semasa mengecam kembar pertama.

"Anggota yang turut serta dalam tangkapan, Koperal Mohamad Sidek Paiman pula pada mulanya tidak mengecam, kemudian meminta kedua-duanya bangun dan kata ada perbezaan dari segi ketinggian. Walau bagaimanapun dia mengecam kembar pertama sebagai orang yang berkaca mata.

"Soalnya siapakah kembar pertama yang ditangkap, adakah yang memakai kaca mata atau tidak kerana semasa kejadian kedua-duanya tidak memakai kaca mata. Mohamad Sidek berkata dia hanya mengecam berdasarkan baju yang dipakai pada hari kejadian," katanya.

Zaharah berkata, beliau mendapati keterangan daripada dua anggota polis terbabit menimbulkan keraguan dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kembar yang mana yang ditangkap di belakang bonet kereta dan memiliki dadah.

"Salah seorang daripada tertuduh memang patut dipanggil membela diri tetapi persoalannya adalah 'kembar yang mana?' Kerana bukti DNA pun tidak dapat pastikannya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. Pada hari kejadian, keduaduanya tidak memakai kacamata, jika tidak itulah yang menjadi asas kepada Mohamad Sidek untuk mengecam kembar pertama.

"Ini adalah kes yang sangat unik, kedua-dua tertuduh akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, jika saya panggil bela diri atas tuduhan Seksyen 39B ini saya takut saya akan tersalah membuat keputusan. Saya tidak boleh menghantar orang salah untuk menjalani hukuman.

"Salah seorang memang mempunyai pemilikan dalam kawalan dadah itu tetapi pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh khususnya tentang identiti orang yang ditangkap itu," katanya.

Selesai sahaja Zaharah membacakan keputusannya itu, keduaduanya yang memakai kemeja berwarna putih berpelukan dan menangis selepas keluar dari kandang tertuduh.

Sathis Raj dan Sabarish Raj didakwa atas tuduhan pindaan bersama-sama abang mereka yang telah meninggal dunia R. Deva Raj, 43, mengedar dadah seberat 166,336 gram kanabis dan satu lagi tuduhan mengedar dadah jenis candu seberat 1,762 gram.

Keduadua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah no 26, Jalan SS 2/19, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2003 kira-kira pukul 4.05 petang. Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala kembar itu diwakili peguam Gurbachan Singh.

Perbicaraan kes pasangan kembar ini sebenarnya didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Zaharah membuat keputusannya di Mahkamah Tinggi di sini setelah beliau ditukarkan. Sepanjang perbicaraan pendakwaan telah memanggil lapan orang saksi. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain