suria

Angkat sumpah MB baru esok?

[DIKEMAS KINI, 7.30 PETANG] IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak walaupun telah diminta oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar berbuat demikian.

Menteri Besar baru menggantikan beliau dijangka diputuskan petang ini dan mengangkat sumpah hari ini juga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi menghadap Sultan Perak di Istana Kinta.

Beliau tiba di istana kira-kira pukul 5.53 petang diiringi sembilan kereta dan meninggalkan istana 25 minit kemudian.

Antara mereka yang disebut-sebut ialah Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari yang juga ADUN Manong ataupun ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu Ramly berkata, proses angkat sumpah bagi Menteri Besar yang baru kemungkinan diadakan esok.

"Kemungkinan esok pagi, hari ini tak sempat rasanya.

"Masalah dengan Pakatan pun tak selesai lagi, macam mana nak buat lantikan baru," katanya.

Bagaimanapun Zambry ketika dihubungi juga memaklumkan calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.

"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.

Sehubungan itu Nizar enggan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Perak seperti yang dititahkan oleh Sultan Azlan Shah dengan alasan beliau masih menyandangnya secara sah mengikut Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

"Kita tidak menolak titah Sultan, cuma kita merayu Sultan (agar) mengikut ketetapan dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya petang ini.

Mohammad Nizar berkata bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau dititahkan supaya meletak jawatan dan baginda juga tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Saya dengan rendah hati mohon derhaka dengan berkata kepada baginda 'patik sebagai MB dan pemimpin kerajaan, mohon tidak letak jawatan'," katanya.

Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan pada 2.15 petang tadi yang menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah telah menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan setelah baginda berpuas hati Menteri Besar itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar daripada parti masingmasing untuk menyokong Barisan Nasional.

"Kita kerajaan yang sah, dia (Abdul Rahman) tidak ada hak, jadi kita mohon Sultan membubarkan DUN untuk memberi kedaulatan kepada rakyat kerana dalam keadaan sekarang Menteri Besar tidak letak jawatan atau dibuang," katanya.

Mohammad Nizar berkata beliau akan meneruskan tugasnya seperti biasa dan akan masuk pejabatnya esok.

"Saya masih kekal sebagai Menteri Besar... esok saya akan ke pejabat saya seperti biasa," katanya.

Beliau juga menyeru penduduk Perak supaya memahami keadaan pada masa ini dan bertenang kerana pihaknya akan ikut apa yang ditetapkan oleh undangundang dan peraturan.

Menurut Mohammad Nizar, Fasal 16 Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, menetapkan sekiranya Menteri Besar tidak mendapat kepercayaan, undi tidak percaya boleh diusulkan dalam satu sidang khas selain membubarkan DUN.

Katanya kerajaan negeri bersama pemimpin Pakatan Rakyat akan memohon untuk menghadap Sultan Azlan Shah untuk merayu agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Pada sidang akhbar yang sama, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masing-masing meminta agar saluran Perlembagaan dan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang pula berkata, apa yang berlaku di Perak adalah "sesuatu yang luar biasa".

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata BN telah bersiap sedia untuk acara mengangkat sumpah pada bilabila masa bagi menubuhkan kerajaan baru.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ADUN Behrang dianiaya PKR?

Artikel Lain