suria

Calon MB Perak belum difikirkan lagi

PUTRAJAYA: Pucuk pimpinan Barisan Nasional belum memikirkan mengenai calon Menteri Besar Perak selepas parti itu hari ini diumumkan memperoleh majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu daripada Pakatan Rakyat.

"Itu belum difikirkan oleh Datuk Seri Najib dan Pak Lah tetapi kita ada 28 calon sekarang ini," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui pemberita selepas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negeri itu di sini hari ini.

Ini berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim dari PKR menyertai semula Umno manakala tiga lagi ADUN daripada Pakatan Rakyat mengisytiharkan kepada parti masing-masing untuk menjadi anggota Bebas dan menyokong BN.

Mereka terdiri daripada Timbalan Speaker DUN Perak yang juga ADUN Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu dan dan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

BN dan Pakatan Rakyat kini masing-masing mempunyai 28 kerusi tetapi ketiga-tiga wakil Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN.

Ditanya berapa ramai lagi wakil Pakatan Rakyat mahu menyertai BN, Ahmad Zahid berkata beliau tidak tahu tetapi BN mengalu-alukan penyertaan mereka dan pintu BN sentiasa terbuka tanpa syarat.

"Ramai yang berminat tetapi belum ada ketentuan lagi untuk menyertai BN," katanya.

Mengenai kepimpinan Pakatan Rakyat yang hanya mampu memerintah Perak selama kira-kira 10 bulan, beliau berkata itulah hakikat politik.

"Jangan hanya pintar mengeluarkan kenyataan politik tetapi realiti politiknya harus kita hadapi," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, BN bersedia untuk menubuhkan kerajaan baru di Perak berikutan kesediaan empat ADUN negeri itu yang telah meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong BN.

"Terima kasihlah kalau mereka sudah ambil keputusan untuk menyatakan sokongan kepada BN, BN terima dan kita ucapkan terima kasihlah," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesembilan di sini hari ini.

"Kalau ada bilangan cukup tentu sekali kita mahu mengambil langkah itu (tubuh kerajaan)," kata Abdullah, yang juga pengerusi BN ketika mengulas mengenai BN yang memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Perak ekoran tindakan empat Adun itu meninggalkan parti masingmasing untuk menyokong BN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu sidang media berasingan hari ini menjelaskan walaupun BN mempunyai bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sama banyak dengan Pakatan Rakyat tetapi BN boleh menubuhkan kerajaan negeri kerana ketiga-tiga wakil rakyat Bebas itu telah menyatakan sokongan kepada BN termasuk dalam soal pelantikan Menteri Besar daripada kalangan anggota BN.

Mengulas sama ada BN akan menimbangkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut, Abdullah berkata perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bagaimanapun, katanya, timbalannya Najib akan menghadap Sultan Perak untuk memaklumkan kepada baginda bahawa BN kini mempunyai majoriti di DUN Perak.

Ditanya sama ada BN akan mengemukakan undi tidak percaya, Abdullah berkata perkara itu belum diputuskan tetapi beliau menyifatkan ia sebagai satu tindakan pilihan.

Kepada soalan sama ada beliau yakin rakyat Perak akan dapat menerima kerajaan BN untuk kembali memerintah di negeri itu, beliau berkata: "Ia terserah kepada rakyat."

Beliau bagaimanapun yakin apa yang lebih penting bagi rakyat ialah keupayaan kerajaan untuk memimpin dan melaksanakan pembangunan serta menjamin kestabilan politik dalam negeri.

Berhubung Adun Behrang dan Adun Changkat Jering yang kini berhadapan dengan pertuduhan kes rasuah yang kemungkinan boleh menjejaskan imej Umno, Perdana Menteri berkata setakat ini mereka belum lagi terbukti bersalah.

Ditanya sama ada BN telah mempunyai calon Menteri Besar Perak, Abdullah berkata : "Nanti dululah".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain